Pelajar Disaran Mempunyai Semangat Juang Tinggi, Berjiwa Besar, Berfikiran Kompetitif


BINTANGOR
: Pelajar sekolah, khasnya disaran untuk mempunyai semangat juang tinggi selain berjiwa besar dan berfikiran kompetitif untuk meningkatkan penguasaan ilmu demi masa depan yang lebih terjamin.

Menyuarakan mengenai perkara itu, Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri Abdullah Saidol selain itu berkata, setiap pelajar juga harus pandai mengurus kecerdikan kerana kecerdikan tidak mencukupi tanpa kebijaksanaan.

“Kecerdikan mungkin boleh membawa kita ke depan, tapi kebijaksanaan mampu membawa kita lebih jauh daripada itu.

“Orang cerdik tidak selalunya bertindak bijak. Tetapi orang bijak berupaya mencipta kejayaan yang lebih besar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Kembara Ke Universiti di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meradong di sini, semalam.

Turut hadir Pengetua SMK Meradong Liong Shou Chuan dan Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Meradong Abang Ismail Abang Mahamud.

Pada majlis itu, beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM30,000 bertujuan membantu menjana pelbagai aktiviti SMK Meradong.

Peruntukan tersebut dibahagikan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) berjumlah RM10,000 dan tiga kelab serta satu persatuan iaitu Kelab Kesenian, Kelab Pendidik, Kelab Sukan dan Rekreasi serta Persatuan Tingkatan Enam yang masing-masing menerima RM5,000 setiap kelab.

Sehubungan itu, beliau juga menyampaikan komputer riba kepada seramai 220 pelajar tingkatan enam rendah SMK Meradong.

Pemberian sumbangan merupakan satu daripada pelan kerajaan di bawah Inisiatif Jalur Lebar Negara (NBI) untuk meningkatkan kadar penembusan jalur lebar terutama di kawasan luar bandar.

Beliau bagaimanapun menasihati pelajar untuk memanfaatkan komputer riba yang diberikan dengan sebaiknya kerana beliau percaya komputer percuma itu mampu melonjak prestasi pelajar dalam usaha melahirkan modal insan cemerlang.

“Namun ingin saya ingatkan bahawa jangan mudah terpengaruh dengan berita tidak berasas, fitnah dan berbaur kebencian dan sentiasalah berhati-hati dengan sebaran pelbagai maklumat yang disebarkan melalui media sosial,” tegasnya.

Program Kembara Ke Universiti itu bertujuan meningkatkan daya saing sesama pelajar, mewujudkan inovasi dan kreativiti dalam pengurusan tingkatan enam selain penetapan sasaran Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan persediaan ke universiti. - UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA