PBT Perlu Kaji Impak Permainan Pokemon Go

Foto Berita Harian
BUTTERWORTH: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu mengkaji impak permainan 'Pokemon Go' dari aspek keselamatan diri serta masyarakat.

Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata permainan realiti digital itu mempunyai kesan baik dan buruk yang perlu disedari masyarakat.

Beliau berkata, pada pandangan peribadinya, permainan itu dilihat mampu memberi kesan baik kepada institusi keluarga sekiranya dijalankan bersama.

Katanya, ia dapat dijadikan sebagai sesi riadah dan mengeratkan masa bersama keluarga untuk keluar mencari sasaran aplikasi permainan itu.

"Bagaimanapun, dari sudut negatif aplikasi ini boleh menyebabkan pengguna terlalu ketagih untuk mencari sasaran.

"Perkara ini dikhuatiri akan memberi kesan kepada keselamatan diri pengguna kerana apabila terlalu fokus dengan permainan itu mereka hilang tumpuan terhadap keadaan sekeliling," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Seminar Pemantapan Integrasi dan Profesionalisme anjuran bersama MCPF, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Politeknik Seberang Perai di sini, hari ini.

Di samping itu, beliau berkata, pengguna aplikasi 'Pokemon Go' dinasihatkan supaya memikirkan keselamatan diri dan orang lain biarpun terlalu minat dengan aplikasi berkenaan.

Katanya, pengguna perlu bijak mengelakkan diri daripada sebarang risiko seperti kemalangan dan kes ragut semasa menggunakan aplikasi berkenaan.

Sementara itu, katanya, MCPF bercadang membincangkan isu berkenaan pada mesyuarat EXCO yang akan diadakan pada bulan ini.

"Kita akan memberi peluang kepada setiap ahli untuk menyuarakan pendapat masing-masing sebelum menyatakan pendirian muktamad berkaitan aplikasi ini," katanya. -BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA