Pasukan SWAT SFC Sarawak Tumpaskan Buaya Taman Negara Bako



KUCHING: Seekor buaya dewasa berukuran 14 kaki panjang ditumpaskan di perairan Teluk Paku di Taman Negara Bako, kira-kira 40 km dari sini awal pagi Sabtu.

Sarawak Forestry Corporation (SFC) dalam satu kenyataan berkata, buaya itu dibunuh dalam operasi yang dijalankan oleh Pasukan Tindakan Pantas Hidupan Liar (SWAT) SFC selepas buaya itu dilihat berada di perairan di Teluk Paku oleh Renjer Taman baru-baru ini.

"Pasukan SWAT di Taman Negara Bako telah dimaklumkan untuk memburu buaya itu. Buaya jantan akhirnya tejerat pagi tadi dan dengan segera dibunuh," menurut kenyataan.

Menurut kenyataan itu, 19 lokasi termasuk perairan di Taman Negara Bako telah diisytiharkan sebagai Zon Bunuh Buaya (CRZ) kerana kehadiran buaya di kawasan-kawasan ini akan menimbulkan konflik serius antara manusia dan buaya.

CRZ kebanyakannya ialah kawasan yang padat yang penduduk, kawasan riadah, seperti resort, tebing sungai, tepian sungai, sekolah, klinik dan oleh itu, kehadiran buaya di kawasan-kawasan ini tidak akan dibiarkan.

"Untuk keselamatan orang ramai, buaya yang ditemui di Zon Bunuh Buaya akan dibunuh," kata kenyataan itu.


- Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA