PAS Kekal Keputusan Mahu Saman Sarawak Report


KOTA BHARU: PAS mengekalkan keputusan untuk menyaman Sarawak Report berhubung dakwaan yang dibuat portal berita itu terhadap parti berkenaan, kata Timbalan Mursyidul Amnya, Datuk Ahmad Yakob.

"Mengikut keputusan yang dibuat Timbalan Presiden PAS (Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man) akan buat samanlah (terhadap Sarawak Report). (Saman di) England ke...ikutlah," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis mengucap selamat jalan kepada jemaah haji di Kompleks Islam Jubli Perak, Panji, di sini malam tadi.

Hadir sama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan Anggota Lembaga Tabung Haji Tan Sri Shukry Mohd Salleh.

Pada majlis itu, seramai 150 bakal haji menaiki penerbangan dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Pengkalan Chepa dan transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebelum meneruskan perjalanan ke Madinah.

Sejumlah 1,600 jemaah haji dari Kelantan akan menunaikan rukun Islam kelima itu pada musim haji kali ini.

Isnin lepas, Tuan Ibrahim dilaporkan berkata PAS akan mengambil tindakan undang-undang ke atas Sarawak Report kerana berniat jahat dan mencemar nama baik parti serta dasar Islam yang menjadi teras kepada parti itu. - Astro Awani

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA