Parti PRIBUMI Mahathir Akan Berkembang Ke Sarawak?

Parti politik baharu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PRIBUMI) yang dinaungi bekas perdana menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad akan mempertimbangkan untuk melebarkan sayapnya ke Sarawak, jika ada permintaan dari rakyat negeri ini yang mahukan perubahan terhadap sistem dan kepimpinan negara.

Menurut sumber, setakat ini sudah ada permintaan dari penduduk tempatan agar parti itu melebarkan sayapnya ke Sarawak.

“PRIBUMI adalah parti yang berpaksikan ketelusan untuk membawa perubahan khususnya kepada masyarakat bumiputera.

“Malah penubuhannya adalah selepas mendapat persetujuan Pakatan Harapan, maka perjuangannya tidak terhad kepada rakyat di Semenanjung sahaja,” kata sumber kepada Sarawakiana di Kuching hari ini.

Bagaimanapun, menurut sumber tersebut keputusan untuk membawa parti itu ke Sarawak akan dibincangkan bersama kepimpinan Pakatan Harapan terlebih dahulu.

Ditanya sejauh mana harapan parti itu untuk bertapak di negeri Sarawak yang kental semangat kenegerian “Sarawak for Sarawakian”.

Sumber itu bekata, rakyat negeri ini hanya tidak mahu menerima kehadiran parti UMNO di Sarawak, namun tidak masalah untuk parti lain.

“Selama ini rakyat serta pemimpin Sarawak hanya allergic terhadap parti rasis seperti UMNO, tidak lebih dari itu,” katanya.

Sumber itu menambah, sebagai negara demokrasi pasti tiada halangan untuk PRIBUMI melebarkan pengaruhnya kemana saja di negara ini.

Permohonan untuk menjadikan PRIBUMI sebagai parti politik yang sah telah dibuat pada Selasa lalu oleh mantan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai langkah untuk menyingkirkan kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU 14). - Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA