Pandelela Sudah Bersedia


"SEMUANYA ok, tiada apa yang perlu dirisaukan."

Demikian kata-kata ratu terjun negara, Pandelela Rinong yang akan menggalas cabaran negara pada Sukan Olimpik di Rio, Jumaat ini.

Pandelela yang dianggap prospek terbaik menghadiahkan pingat buat negara sekali lagi telah bersedia untuk melakukan terjunan sekali gus memperbaiki pencapaiannya di Rio kali ini.

Ini kerana katanya, sepanjang dua bulan menjalani latihan di China banyak pengalaman baharu dan akan diguna serta di praktikkan nanti.

"Persiapan berjalan dengan lancar dan saya sudah bersedia untuk mempamerkan terjunan terbaik di Rio.

"Bukan saya, malah rakan sepasukan lain menunjukkan semangat yang tinggi dan kami yakin dapat memberikan persembahan yang paling baik di sana nanti," katanya.

Pandelela, pemenang pingat gangsa acara 10 meter platform individu di Sukan Olimpik London 2012, akan beraksi dalam acara kegemarannya itu di Rio selain berganding dengan Cheong Jun Hoong bagi acara 10 meter platform seirama.

Mengenai statusnya sebagai pemenang pingat gangsa di Olimpik London empat tahun lalu, Pandelela menjelaskan ia tidak memberi sebarang tekanan kepadanya.

"Biarpun empat tahun lalu saya menyumbangkan pingat, kali ini saya bermula dari kosong dan sama seperti yang lain.

"Jadi, saya akan buat yang terbaik, semoga terjunan pada temasya ini dapat memberi mata yang bagus dan seterusnya membawa pulang pingat untuk negara,” ujarnya.

Bagaimanapun, Pandelela tidak memandang rendah pencabar-pencabarnya kerana setiap edisi Olimpik menampilkan cabaran yang berbeza.

“Walaupun China kuasa besar, namun penerjun lain seperti Korea Utara, Britain, Kanada dan Australia tidak boleh dipandang remeh.

"Setiap pengalaman di Olimpik amat berbeza, jadi saya enggan membuat perbandingan dengan sebelum ini selain daripada cuba memberi aksi lebih baik di Rio,” katanya yang menganggap peluangnya lebih cerah dalam acara seirama berbanding acara individu. - SH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA