Olimpik Rio : Wendy Ng Melepasi Sasaran Dalam Acara Terjun


Penerjun negara Wendy Ng Yan Yee melepasi sasaran separuh akhir apabila menduduki tempat ke-10 dalam acara akhir 3m papan anjal wanita di Pusat Akuatik Maria Lenk di Olimpik Rio pada Ahad.

Menduduki tempat keenam dalam tiga terjunan pertama dan merosot ke tangga ke-10 dalam dua terjunan lagi, Wendy mengumpul keseluruhan 306.60 mata menerusi lima terjunan, 99.45 mata di belakang pemenang pingat emas Shi Tingmao dari China yang mengumpul 406.05 mata.

Seorang lagi penerjun China, He Zi memperoleh perak dengan mata 387.90 sementara pingat gangsa dimenangi penerjun Itali, Tania Cagnotto dengan 372.80 mata.

"Saya jadi gementar. Ia bukan alasan tetapi itu yang berlaku. Saya kecewa kerana saya berharap melakukan yang lebih baik," kata penerjun berusia 23 tahun ini yang mara ke separuh akhir dengan kedudukan ke-17 daripada 18 penerjun yang layak.

"Saya sasar separuh akhir tetapi dapat mara ke akhir, saya berharap dapat melakukan yang lebih baik, tetapi ia tidak menjadi seperti yang saya harapkan," katanya yang persembahannya turut disaksikan ibu bapa, kakak dan abang iparnya di sini. -Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA