Olimpik Rio : Pandelela Dan Nur Dhabitah Ke Separuh Akhir 10m Platform


RIO DE JANEIRO: Ratu terjun Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri layak ke separuh akhir perseorangan wanita 10m platform di Sukan Olimpik Rio pada Rabu.

Dalam pusingan awal di Pusat Akuatik Maria di sini, Pandelela, pemegang pingat gangsa acara ini di Olimpik London 2012 London, menduduki tempat keenam sementara Nur Dhabitah tempat kelapan.

Kedua-dua mereka adalah antara 28 penerjun yang cuba merebut 18 tempat bagi peringkat seterusnya esok selepas menamatkan format lima terjunan itu.

Peringat separuh akhir akan diadakan pada pukul 10am/9pm (waktu Malaysia) diikuti dengan pusingan akhir 12 penerjun pada pukul 4pm (3 pagi waktu Malaysia).

Pandelela, yang mengutip pingat perak dalam acara 10 meter platform seirama bersama Cheong Jun Hoong di sini mengumpul 332.4 mata sementara Nur Dhabitah mengumpul 325.58 mata.

Peserta pilihan, Si Yajie berada di atas dengan 397.45 mata sementara rakan sepasukannya Ren Qian di tempat kedua, ketinggalan 11.65 mata.

Terjunan Pandelela mengutip 72, 65.25, 73.60, 52.80 dan 68.80 mata sementara Nur Dhabitah mengutip 72, 41.60, 75.90, 64.35 dan 72 mata.

Peserta China di tempat pertama merekodkan 76.50, 76.80, 78.40, 84.15 dan mata akhir 81.60.



- Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA