Olimpik : Neymar Sandaran Emas Brazil


RIO DE JANEIRO: Brazil mengharungi kempen paling buruk pada Piala Dunia 2014 dan kini pasukan itu mengharapkan sentuhan bintang Barcelona, Neymar bagi menamatkan penantian meraih emas bola sepak Olimpik.

Emas Olimpik adalah satu-satunya gelaran utama yang masih belum berada dalam koleksi Brazil yang menyaksikan pasukan berkenaan merekodkan lima kejuaraan Piala Dunia.

Skuad Brazil kini terdesak bagi mengubati kekecewaan selepas tewas 1-7 di tangan Jerman dalam aksi separuh akhir Piala Dunia, dua tahun lalu walaupun tampil sebagai pasukan tuan rumah.

Memburukkan lagi keadaan, Brazil tersingkir di peringkat kumpulan dalam saingan Copa America Centenario, Jun lalu. Anak emas, Neymar kini tidak boleh gagal lagi.

Cedera tulang belakang pada penghujung perlawanan suku akhir menentang Colombia menyaksikan Brazil turun tanpa kelibat bintang sensasi mereka itu ketika menentang Jerman, dua tahun lalu.

Menerusi perjanjian antara Barcelona dan Persekutuan Bola Sepak Brazil, Neymar tidak disenaraikan pada kempen Copa America - yang menyaksikan jurulatihnya, Dunga dipecat buat kali kedua - bagi memastikan dia benar-benar cergas untuk saingan Olimpik.

Rogerio Micale diberi tanggungjawab sebagai jurulatih selepas membawa skuad muda Brazil mara ke final Piala Dunia bawah 20 tahun, tahun lalu menjangkakan Neymar bakal menyinar bagi membantu pasukan.

"Saya mahu bergantung kepada Neymar. Jurulatih mana di dunia ini tidak mahu Neymar dalam pasukannya? "Neymar melebihi jangkaan saya, dia dihargai, seorang lelaki yang baik dengan hati yang besar terutama dalam kalangan pemain muda.

"Dia menunjukkan dia lebih daripada pemain yang hebat - dia seorang lelaki yang diminati semua orang," katanya.

Neymar turut berada dalam pasukan ketika Brazil dikejutkan dengan kekalahan di tangan Mexico pada aksi final Olimpik 2012.

Kini, anak buah Micale diletakkan sebagai pilihan utama untuk menamatkan penantian memenangi emas kerana mempunyai kelebihan sebagai tuan rumah.

Setiap pasukan hanya boleh menyenaraikan tiga pemain yang melebihi usia 23 tahun dalam skuad 18 pemain.

Gabriel Barbosa dan Gabriel Jesus yang menerima tawaran lumayan bagi berpindah ke Eropah akan bergandingan bersama Neymar di bahagian serangan. - AFP

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA