Olimpik: Keluarga Pandelela Tidak Tidur Semalaman


KUCHING: Ibu bapa serta anggota keluarga Pandelela Rinong Pamg tidak tidur semalaman kerana menanti saat kejayaan ratu terjun negara itu beraksi di pusat akuatik di Rio pagi tadi bersama pasangannya Cheong Jun Hoong.

Pamg Joheng ketika dihubungi BERNAMA hari ini berkata, kemenangan yang dicatat oleh anaknya bersama Jun Hoong sangat menggembirakannya mereka sekeluarga.

"Yang lebih manis lagi kerana pada kali ini pingat yang dimenangi adalah perak dan sudah tentu ianya bukan sahaja menggembirakan kami sekeluarga tetapi saya percaya seluruh rakyat Malaysia turut meraikannya," katanya.

"Kami sekeluarga tidak tidur untuk menonton di televisyen acara terjun membabitkan Pandelela dan Jun Hoong berakhir. Saya sendiri tidak tidur semalaman dan terus turun bekerja pagi tadi," katanya.

Gandingan negara itu mengumpul jumlah 344.34 mata untuk menang pingat perak dalam acara 10m papan anjal serentak manakala China merangkul emas dengan 354 mata. Kanada meraih pingat gangsa dengan mengumpul 336.18 mata.

Menurut Pamg, beliau bersama isteri dan anak lelakinya yang juga bekas penerjun negara Pardika Indoma akan terbang ke Rio pada 15 Ogos ini untuk bersama-sama Pandelela untuk menyaksikan beliau beraksi dalam acara 10m individu dan akan kembali ke tanah air pada 21 Ogos.

Pada Sukan Olimpik London empat tahun lepas Pandelela merangkul pingat gangsa dalam acara berkenaan yang merupakan pingat Olimpik pertama yang pernah dimenangi oleh atlet wanita dari Malaysia. - BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA