Olimpik: Ganjaran Besar Buat Jaguh Negara


PETALING JAYA: Setiap perkara yang dilakukan, pasti ada balasannya dan mereka yang meraih kemenangan walaupun berdepan kesukaran di Olimpik Rio muncul sebagai pemenang, dan ganjaran besar menanti mereka selain kebanggaan dan penghormatan.

Rakyat Malaysia yang meraih pingat pada temasya Sukan Olimpik baru-baru ini dijangka menerima wang tunai lebih RM4 juta dan insentif-insentif lain di atas kemenangan empat perak dan satu gangsa.

Berada di senarai teratas ialah pasangan beregu badminton lelaki negara, Goh V Shem dan Tan Wee Kiong, yang akan menerima RM300,000 di bawah skim insentif Majlis Sukan Negara (MSN) dan RM375,000 di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM), dengan kedua-duanya akan dikongsi secara bersama.

Masing-masing akan menerima sebuah kereta Proton Suprima S 1.6L Turbo Premium bernilai RM79,900, sebuah rumah di LakePark Residence tajaan JL99 Group, sebuah kerusi urut Osim uDiva Classic bernilai RM7,988.

Secara keseluruhan, masing-masing akan menerima RM1.85 juta setiap seorang.

Pemegang pingat perak di Olimpik buat kali ketiga, pemain perseorangan, Datuk Lee Chong Wei akan menerima habuan berjumlah RM637,888, meliputi RM300,000 daripada MSN, RM250,000 daripada BAM dan sebuah kereta Proton Suprima S 1.6L Turbo Premium dan sebuah kerusi urut Osim uDiva Classic.

Pasangan regu campuran Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying, yang juga meraih pinggat perak turut menerima ganjaran wang tunai yang sama sebagaimana yang diterima pasangan beregu lelaki daripada MSN dan BAM.

Ia merupakan tambahan kepada RM50,000 daripada kerajaan Melaka, RM60,000 daripada pengendali rangkaian mudah alih maya, XOX Bhd dan sebuah kereta Proton Suprima S 1.6L Turbo Premium dan sebuah kerusi urut Osim uDiva Classic, setiap seorang.

Secara individu, Chan akan turut menerima RM100,000 daripada kerajaan Pulau Pinang dan RM50,000 daripada pengasas Hunza Group, Datuk Seri Khor Teng Tong.

Goh turut menerima RM25,000 daripada kerajaan Pulau Pinang, menjadikan jumlah keseluruhan bagi pasangan itu sebanyak RM1.135 juta.

Penerjun, Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong yang memperoleh pingat perak dalam acara terjun 10 meter platform seirama wanita, menerima wang tunai RM475,776 dan ganjaran-ganjaran lain.

Bagi pingat gangsa dalam acara keirin lelaki, Azizulhasni Awang yang mendapat jolokan “Pocket Rocket Man” akan mendapat ganjaran keseluruhan berjumlah RM265,506 - RM100,000 daripada MSN, RM100,000 daripada Yayasan Sime Darby, sebuah kereta Proton Suprima S 1.6L Premium dan peranti urut Osim uCaress 3D bernilai RM988, berserta pengurut kaki Osim uPhoria Warm bernilai RM2,488.

Kesemua penerima pingat Olimpik juga akan menerima insentif dan pencen seumur hidup yang mana ia akan bermula serta-merta.

Menurut laman web MSN, penerima pingat emas akan menerima elaun bulanan RM5,000 seumur hidup mereka, manakala penerima pingat perak menerima RM3,000 setiap bulan.

Bagi mereka yang meraih pingat gangsa pula akan menerima insentif bulanan RM2,000. - mStar

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA