Nelayan Tuntut Janji PRK Balingian 2014


MUKAH : Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Mukah/Oya terus menunggu janji Kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam Pilhan Raya Kecil (PRK) N51 Balingian pada Mac 2014 yang meluluskan peruntukan untuk membeli mesin ais dan sebuah kereta pacuan empat roda Hilux.

Bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meluluskan peruntukan itu ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) PNK Mukah/Oya di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di sini pada 27 Mac 2014.

Janji itu turut dibangkit dalam Mesyuarat Bulanan 8/2016 Ahli Lembaga Pengarah PNK Mukah/Oya di kompleks LKIM di sini semalam. Pengerusi PNK Mukah/ Oya baharu Ali Hamid berkata, sejak janji itu diumumkan bekas timbalan perdana menteri, pihaknya gembira dan terus mengharap perkara itu akan menjadi kenyataan.

Bagaimanapun, persatuan belum menerima apa-apa berita tentang janji itu sehingga kini meskipun usaha telah dibuat,” katanya ketika mempengerusikan mesyuarat berkenaan.

Beliau juga menunjukkan sebuah akhbar bahasa Malaysia tempatan yang memaparkan laporan tentang janji itu.

Menurutnya, peruntukan itu diperlukan bagi membeli sebuah mesin baharu kerana mesin lama berusia lebih 20 tahun sudah rosak sejak sekian lama.

Katanya, sejak mesin itu rosak, nelayan kini membeli ais dari pembekal swasta pada harga agak mahal sedikit.

Turut hadir Pegawai LKIM Wilayah II Mukah Mastam Nodo, Pengurus Besar PNK Mukah/Oya Awang Mohaini Awang Chee dan bekas pengerusi PNK Mukah/Oya Adeni Bohari.- UtusanSarawak

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA