Nelayan Bersyukur Dengan Bantuan Kerajaan


LUNDU: Perasaan bersyukur jelas terpancar pada wajah Ahli Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Lundu dan Sematan hari ini apabila masing-masing menerima elaun sara hidup nelayan yang disampaikan Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.




Saree Mat, 50 yang menetap di Kampung Pandan melahirkan rasa syukur kerana elaun tersebut boleh digunakan untuk menampung perbelanjaan bulanan dan simpanan apabila tidak ke laut.

“Tidak semestinya sepanjang bulan kami turun ke laut menangkap ikan, jadi saya bersyukur dan berterima kasih kerana kerajaan amat prihatin terhadap rakyat,” ujarnya.

Bekas pekerja buruh itu telah menyara keluargnya sebagai seorang nelayan sejak 15 tahun lalu berkata, bantuan seperti itu adalah usaha murni membantu nelayan.




Sementara itu, Abdul Razak Busri, 60, yang merupakan penduduk Kampung Puguk berkata wang bantuan tersebut akan digunakan untuk membaiki bot dan membeli peralatan menangkap ikan.

Abdul Razak memilih untuk menjadi nelayan sepenuh masa apabila penubuhan Persatuaan Nelayan Kawasan (PNK)  Lundu dan Sematan ditubuhkan.

“Saya berharap bantuan seperti ini diteruskan lagi di masa hadapan dan terima kasih kepada ahli nelayan dan juga Jabatan Perikanan di atas sokongan dan dorongan membantu para nelayan,” jelasnya.



Bagi Abang Azman Abang Indie, 45, yang berasal dari Kampung Sileng pula menjelaskan bantuan itu akan digunakan untuk simpanan.

“Saya berharap agar bantuan ini diteruskan kerana jika tiada bantuan sebegini ianya memberi kesan kepada kami,” ujarnya yang pernah bekerja sebagai juruelektrik selama 10 tahun.

Beliau turut memuji kepimpinan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Haji Adenan Satem kerana amat menitik beratkan keperluan rakyat.

Terdahulu, Majlis Penyerahan Elaun Sara Diri dan Dialog bersama Ahli-ahli Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Lundu/Sematan anjuran Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Sarawak diadakan. – Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA