Najib Teruja Kongsi Pengalaman Malaysia Dengan Peserta ICBOS


KUALA LUMPUR, 14 Ogos: Datuk Seri Najib Tun Razak teruja untuk berkongsi pengalaman Malaysia dengan para peserta Persidangan Antarabangsa mengenai Strategi Lautan Biru (ICBOS) di Putrajaya, yang bermula Selasa di Putrajaya.

Perdana Menteri dalam posting terbaharu dalam laman Facebook berkata ICBOS akan menjadi platform untuk berkongsi idea dan pengetahuan bagi merumuskan pendekatan kreatif dan inovatif untuk menggubal dan melaksanakan dasar-dasar dan inisiatif negara.

"Saya akan mengalu-alukan peserta dari negara-negara anggota Komanwel, negara ASEAN dan anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke Persidangan Antarabangsa mengenai Strategi Lautan Biru di Putrajaya dari 16 hingga 18 Ogos," katanya.

Persidangan selama empat hari itu akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Bertemakan Mentransformasi Negara melalui Kreativiti dan Inovasi, Najib dijadual menyampaikan ucaptama dan berucap bersama-sama pemimpin negara, penceramah terkemuka serta pakar-pakar global pada Sidang Kemuncak Pemimpin itu.

ICBOS ialah satu daripada tiga persidangan yang dianjurkan sempena Minggu Antarabangsa Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dari 14 hingga 20 Ogos.

Persidangan lain ialah Mesyuarat Menteri-Menteri Perkhidmatan Awam Komanwel mengenai Tadbir Urus untuk Pembangunan Mampan yang akan berlangsung pada 17 Ogos, dan Mesyuarat Persatuan Komanwel bagi Pentadbiran Awam dan Pengurusan (CAPAM) dari 18 hingga 20 Ogos di PICC.

-- BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA