Najib Kongsi Detik Paling Sukar Sepanjang Bergelar Perdana Menteri


Sudah pasti apabila bergelar seorang ketua ataupun Perdana Menteri sesebuah negara, membuat sesuatu keputusan yang penting tanpa menjejaskan negara adalah perkara yang paling sukar sekali untuk dilakukan.

Datuk Seri Najib Razak berkongsi detik-detik sukar beliau sepanjang menjadi Perdana Menteri pada sesi soal jawab program '60 Minit Bersama Perdana Menteri' bersama mahasiswa dan mahasiswi dari universiti dalam dan luar negara dan wakil persatuan belia di Seri Perdana, 18 Ogos lalu.

Antara detik sukar beliau adalah apabila terpaksa membuat keputusan untuk berunding dengan ketua kumpulan pemisah Republik Rakyat Donetsk, Alexander Borodai bagi mengambil mayat mangsa tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 dan dua kotak hitam yang mengandungi alat-alat perakam data dan suara pesawat berkenaan.

Menurutnya, keputusan tersebut adalah sesuatu yang tidak pernah dilakukannya dalam sejarah membuatkan dirinya berada dalam keadaan dilema ketika itu.

"Apabila kapal terbang MH17 kena tembak..bila kena tembak, lepas itu dalam ‘rebel control area’ (kawasan yang dikuasai pemberontak). Lepas tu, mayat-mayat yang bergelimpangan di atas padang kita tidak dapat nak bawa keluar. Dan kotak hitam tidak dapat kita selamatkan.

“Jadi saya dalam keadaan dilema. Sebab saya dapat berhubung dengan ketua pemberontak itu, Borodai. Kalau saya berhubung dengan ketua kerajaan, biasalah itu. Tapi ketua pemberontak pun saya boleh. Dan saya terpaksa buat keputusan sama ada saya patut hantar pegawai kita, Kolonel Sukri (Ketua Penolong Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Lt Kol Mohd Sukri Hussain) namanya, masuk dalam rebel control territory untuk bawa keluar mayat dan bawa keluar ‘black box’ (kotak hitam) itu.

“Dan dalam hati saya, kalau dia masuk, lepas itu pemberontak itu mungkir janji dia? Sebab bila dia cakap dengan saya, dia beri jaminan. Tapi apakah boleh saya pegang cakap ketua pemberontak atau tidak. Dalam pada itu, keluarga mangsa semua dalam keadaan kesedihan. Sekurang-kurangnya dapat mengebumikan jenazah orang tersayang sekurang-kurangnya terubat juga. Jadi, mereka minta saya buat sesuatu sama ada saya patut hantar ketua pasukan kita dalam rebel control territory dengan lapan orang yang lain.

“Dan risiko masuk dalam kawasan rebel atau saya biarkan keadaan itu tanpa buat arahan tersebut, mungkin black box tidak dapat, mungkin mayat itu dapat lambat lagi diperolehi untuk dikebumikan. Jadi ia adalah keputusan yang paling sukar untuk dibuat. Ianya satu dilema. Tapi akhirnya saya kata, saya berhutang dengan keluarga mangsa. Saya tidak sampai hati lihat muka keluarga dengan muka yang sedih. Dalam kesedihan tanpa dapat terima balik jenazah orang tersayang mereka.

“Jadi saya kata tidak apa. Tawakallah, saya kata dan saya buat sesuatu yang belum pernah saya buat dalam sejarah. Saya tidak ikut rantaian arahan, saya tidak ikut pada Panglima Angkatan Tentera, Ketua Pengarah MKN, IGP, tidak! Terus dengan dia di mana saya beri arahan kepada Kolonel Sukri dan dia lapor terus pada saya.

“Pada setiap sekatan itu dia tanya, ‘Datuk, boleh saya pergi lagi?’ Dia agaknya takut juga tapi akhirnya saya kata ‘Pergilah. Insya-Allah, selamat.’

“Jadi, itulah sebagai latar belakang salah satu keputusan paling sukar sebagai Perdana Menteri yang pernah saya buat,” katanya menerusi transkrip penuh di laman blog rasmi beliau NajibRazak.com

Selain itu katanya, sebagai seorang ketua beliau perlu berani membuat keputusan yang betul dan tepat demi kepentingan negara.

"Bila kita terpaksa buat keputusan yang kita tahu betul dan tepat tapi tidak popular. Sama ada sebagai seorang ahli politik, sama ada kita nak mendahulukan kepentingan populariti kita atau kita ada kesanggupan, ada keberanian nak buat sesuatu yang betul untuk negara kita.

"Sebagai contoh kita memperkenalkan GST. Walaupun pembangkang mainkan isu GST tapi GST ialah penyelamat kepada ekonomi negara kita,"

Beliau menyifatkan ekonomi Malaysia akan lumpuh tanpa GST sebagai contoh katanya apabila harga minyak merudum jatuh, negara akan kehilangan hampir RM40 bilion hasil.

"Tanpa GST, barangkali susah, kita semua susah. Barangkali yuran universiti naik, penjawat awam kena kurangkan, segala-galanya implikasi yang cukup buruk boleh berlaku kepada negara kita. Jadi itu yang saya nak terangkan,"katanya. - Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA