Najib Gesa Negara Komanwel Kuasai Inovasi Capai Pertumbuhan


PUTRAJAYA: Negara-negara Komanwel harus menguasai inovasi untuk memanfaatkan potensi penuh daripada perkhidmatan awam dan 2.2 bilion penduduknya, bagi mencapai pertumbuhan ekonomi dan memastikan pembangunan inklusif.

Dalam membuat seruan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Malaysia adalah satu contoh jelas perkhidmatan awam yang dipacu inovasi dan pertumbuhan mampan.

"Ia adalah laluan yang membolehkan kami muncul dengan penyelesaian kreatif dan baharu untuk memacu kami ke arah matlamat menjadi sebuah negara berstatus pendapatan tinggi menjelang 2020 dan untuk kami terus menghargai dan melindungi keharmonian dan kepelbagaian kami," katanya.

Dalam ucapan perasmiannya pada Persidangan Dwitahunan Pertubuhan Komanwel bagi Pentadbiran Awam dan Pengurusan (CAPAM) 2016 di sini, hari ini, Najib berkata kerajaan Malaysia menggalakkan penjawat awam untuk keluar daripada pemikiran konvensional dan juga zon selesa mereka.

Beliau berkata langkah itu merangsang 1.6 juta penjawat awam Malaysia untuk muncul dengan penyelesaian baharu dan kreatif yang memberikan penjimatan besar kepada kerajaan.

CAPAM dianggotai 53 negara dan persidangan itu bertemakan, "Inovasi Kepentingan dalam Perkhidmatan Awam".

Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata pendekatan itu telah membuka jalan kepada negara untuk menetapkan semula hubungan luarnya, yang membawa kepada keuntungan besar dari segi pekerjaan, hubungan diplomatik dan prospek masa depan.

Beliau berkata Malaysia juga menjalin hubungan erat di seluruh dunia, antaranya dengan China, India, Rusia, Amerika Syarikat, Jepun dan Kesatuan Eropah.

"Malah, hubungan Malaysia dan rakan-rakan kami di seluruh benua amat baik sekali dan hubungan ini telah membuahkan hasil yang ketara," katanya.

Beliau berkata sebagai contoh, sejak 2009, perdagangan Malaysia-China berkembang sebanyak lebih 10 peratus setahun dan kedua-dua negara mempunyai banyak usaha sama bersama di samping menekankan bahawa Malaysia juga menandatangani perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

PricewaterhouseCoopers mengunjurkan perjanjian perdagangan itu akan meningkatkan keluaran dalam negara kasar Malaysia kepada US$211 bilion antara 2018 dan 2027, dan membawa masuk pelaburan tambahan bernilai sehingga US$239 bilion.

Najib berkata pelaburan langsung asing (FDI) Malaysia dalam sektor pembuatan tahun lepas dijangka mewujudkan 66,000 peluang pekerjaan baharu manakala dalam perkhidmatan ia dijangka mewujudkan 112,000 lagi pekerjaan.

"Jadi, itulah sebabnya mengapa kami percaya, mengubah ekonomi kami dan memastikan dasar luar adalah berdasarkan kepada peningkatan perdagangan dan hubungan antara satu sama lain, adalah jalan untuk keamanan, keselamatan dan pertumbuhan bagi semua.

"Ia akan membawa kepada masa depan yang berasaskan kepada kerjasama dan bukan pertikaian," katanya.- BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA