Najib Dapat Pujian Atas Kejayaan NBOS


PUTRAJAYA - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah dipuji atas kejayaan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa mengumumkan kepada semua pada perasmian Persidangan Antarabangsa mengenai Strategi Lautan Biru (ICBOS) di sini hari ini bahawa Najib telah menjadi daya penggerak di sebalik kejayaan NBOS sejak ia ditubuhkan.

Menurut Ali, Najib telah menjadikan NBOS satu keutamaan dalam usaha Malaysia mencapai status negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

"Kami memulakan perjalanan Lautan Biru kami pada tahun 2009, yang merupakan idea daripada Perdana Menteri kami.

"Apa yang bermula dengan beberapa inisiatif pilihan melibatkan sebilangan kecil kementerian dan agensi kerajaan kini telah berkembang kepada lebih daripada 90 inisiatif yang ketara menyentuh kehidupan ramai rakyat Malaysia," katanya.

ICBOS dengan tema 'Mentransformasi Negara melalui Kreativiti dan Inovasi' itu diadakan bersempena Minggu Antarabangsa NBOS 2016 yang bermula Ahad lalu dan berakhir 20 Ogos di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Ali berkata, Najib telah mempengerusikan mesyuarat Sidang Kemuncak NBOS dengan kehadiran menteri-menteri dan pegawai-pegawai awam yang utama sekurang-kurangnya tiga kali setahun, yang diadakan bagi memastikan kelancaran dan intervensi yang tepat pada masanya bagi menghadapi cabaran yang mungkin berbangkit.

"Kami mengucapkan terima kasih Tuan, atas sokongan dan komitmen untuk bersama-sama dengan kami dalam perjalanan ini," katanya.

NBOS adalah berdasarkan kepada prinsip-prinsip yang berimpak tinggi, kos rendah dan pelaksanaan yang pantas, bagi membolehkan penyampaian projek-projek penting dengan segera yang memberi manfaat kepada rakyat Malaysia dengan cara yang paling cekap dan kos efektif.

Ali berkata NBOS telah memupuk kerjasama yang lebih erat dan penyelarasan antara agensi kerajaan dan meningkatkan penyertaan pelbagai pihak yang berkepentingan, termasuk sektor swasta dan badan bukan kerajaan (NGO).

"Kejayaan ini tidak akan tercapai jika tidak kerana komitmen semua pihak untuk melaksanakan inisiatif NBOS dan yang paling penting, dalam mendapatkan sokongan rakyat," kata beliau. - Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA