Mural Merdeka Abadikan Potret Tunku Abdul Rahman



JOHOR BAHRU – Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman yang juga Perdana Menteri pertama negara amat sinonim dengan tarikh 31 Ogos.

Namun bagi pelukis Iskandar Noor Rahim, ia masih satu cabaran untuk menampilkan wajah beliau menerusi lukisan mural pada dinding di sepanjang Jalan Saujana 1/9, Taman Saujana di sini.

Iskandar atau lebih dikenali sebagai Akeem berkata beliau menerima galakan daripada rakan dan juga jiran untuk melukis potret wajah Tunku Abdul Rahman sempena Hari Kebangsaan.

“Saya telah melakukan penyelidikan dan mendapat ilham daripada Tunku Abdul Rahman sebagai salah seorang pengasas dan segera melukis beberapa lakaran.

“Walaupun saya pakar dalam lukisan potret dan karakter, melukis wajahnya amat mencabar.

“Saya perlu melukis wajahnya dengan tepat supaya sesiapa sahaja yang melalui jalan itu boleh mengenalinya dengan serta merta,” katanya dalam satu temubual pada Selasa.

Selain potret, Iskandar menggunakan 15 warna berlainan untuk corak lingkaran pada lakaran nombor 59.

Pelukis berusia 36 tahun itu mengambil masa selama 10 jam untuk menyiapkan lukisan mural yang dimulakan sejak malam Khamis lalu.

Iskandar antara 10 pelukis yang melukis sempena kempen Merdeka #Tanahairku oleh Petronas di Jalan Dhoby di sini tahun lalu berkata beliau mewarisi bakat bapanya.

“Namun bapa saya hanya melukis sebagai hobi dan bukan untuk pendapatan,” kata anak kedua daripada tiga beradik ini yang menunjukkan minat terhadap seni ketika berusia lima tahun. – mStar Online

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA