Muhyiddin Kehabisan Isu - Salleh


KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin nampaknya kehabisan isu menyebabkan beliau terus bercakap mengenai perkara yang tidak lagi penting bagi kebanyakan rakyat Malaysia, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

"Bilakah Muhyiddin mahu menerima hakikat bahawa hal berkaitan 1MDB (1Malaysia Development Berhad) dan derma dari Timur Tengah telah pun diperjelaskan lebih daripada sekali, dan kini ia merupakan perkara yang sudah pun ditutup?" kata beliau dalam laman blognya sskeruak.blogspot.my.

Salleh berkata bekas timbalan perdana menteri itu cuba mewujudkan persepsi yang perkara itu masih berbangkit sebagai cara untuk mengalihkan perhatian rakyat Malaysia daripada hakikat bahawa pembangkang berada dalam keadaan kucar-kacir dan sudah kehilangan banyak sokongan.

"Hakikatnya, jika pembangkang tidak memainkan isu lama yang sama, maka mereka sebenarnya tidak mempunyai apa-apa lagi untuk diperkatakan,"kata beliau.

Menurutnya mereka berkeras meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjawab tuduhan yang dibuat terhadapnya tetapi selepas beliau berbuat demikian, mereka tidak mengendahkannya dan bertindak seolah-olah tiada apa yang telah dijawab.

"Apa kena dengan mereka ini dan apa lagi yang mereka harapkan?" kata beliau dalam catatannya berhubung dakwaan terbaharu Muhyiddin terhadap perdana menteri.

Salleh berkata sudah semestinya Muhyiddin sedar sekarang bahawa isu-isu berkenaan bukanlah instrumen yang dapat menggulingkan perdana menteri.

"Jika tidak, Najib telah pun melepaskan jawatan beliau dan Barisan Nasional tidak menunjukkan prestasi cemerlang pada pilihan raya negeri Sarawak serta pilihan raya kecil di Sungai Besar dan Kuala Kangsar baru-baru ini," katanya. - BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA