Model Sekolah Amanah Diperluas Ke Semua Sekolah


JOHOR BAHRU: Model Program Sekolah Amanah akan diperluaskan ke semua jenis sekolah menjelang 2025 dalam usaha memantapkan pendidikan negara.

Timbalan Menteri Pendidikan II, Senator Chong Sin Woon, berkata keperluan untuk memperluaskan model itu wajar bagi memenuhi dan menyediakan sumber manusia yang dapat memenuhi cabaran abad ke-21.

Katanya, usaha mencapai status negara maju dengan acuan tersendiri dalam bidang ekonomi, politik, sosial dan kerohanian menuntut satu sistem pendidikan yang menyeluruh.

"Kerajaan bukan saja mahu menambah bilangan sekolah, tetapi juga jenis sekolah seperti kumpulan minoriti, murid dengan keperluan khas dan sekolah luar bandar.

"Bagi menjayakan program ini, kami mengharapkan pembabitan lebih banyak sektor korporat secara berterusan dalam usaha meningkatkan kualiti pendidikan menerusi penambahbaikan dan keberkesanan pelajar bagi membangunkan potensi dan keberhasilan diri pelajar," katanya.

Bercakap demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Program Sekolah Amanah di sini hari ini, beliau berkata, satu sistem sokongan bersepadu wajar dibentuk bagi mendasari transformasi pendidikan negara.

Katanya pelbagai inovasi dan pemikiran baharu yang menjangkau keperluan masa hadapan perlu digarap secara mapan supaya guru dan modal insan yang dilahirkan, mampu berdepan cabaran dan menjadi peserta global yang dinamik.

Sin Woon berkata, program Sekolah Amanah berjaya menghasilkan murid cemerlang dan kementerian akan memperluaskan program itu ke 700 sekolah menjelang 2025.

Program Sekolah Amanah yang dikendalikan Yayasan Amir dilancarkan oleh Khazanah Nasional Berhad pada 2010 untuk mengangkat status sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan supaya setanding sekolah swasta. -BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA