Misteri Air Kolam Bertukar Hijau Terjawab


RIO DE JANEIRO : Jawatankuasa penganjur acara terjun Sukan Olimpik mendakwa mereka sudah menyelesaikan masalah warna air di kolam terjun temasya itu yang bertukar hijau namun masih kekal sehingga ke hari ini.

Sementara badan induk dunia, Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) menegaskan perubahan warna air kolam itu tidak akan mengancam keselamatan atlet dan penerjun, tetapi pakar kualiti air bebas skeptikal terhadap apa yang berlaku.

FINA berkata, perubahan warna daripada biru kepada hijau itu yang menyebabkan pasangan atlet tidak dapat melihat dengan jelas sesama sendiri ketika memasuki kolam disebabkan tangki air di kolam itu 'kehabisan beberapa bahan kimia' yang diperlukan dalam proses merawat air.

Kolam polo air di venue sama yang sebelum ini kekal berwarna biru jernih kini pula sedang mengalami perubahan ke arah hijau seperti yang berlaku di kolam terjun.

"Berikutan tahap pH air yang di luar daripada julat biasa, menyebabkan perubahan warna," kata FINA.

"Jawatankuasa Perubatan Sukan FINA melakukan ujian terhadap kualiti air dan membuat kesimpulan yang tiada risiko terhadap keselamatan dan kesihatan atlet serta tiada alasan bagi kejohanan itu terganggu,"

Jurucakap Rio, Mario Andrada menekankan 'air akan berubah warna ke biru mulai sekarang' selepas pakar air melakukan beberapa siri ujian.

"Ia sangat hijau," kata penerjun Britain Tonia Couch, yang menamatkan saingan di tempat kelima bersama Lois Toulson dalam acara 10 meter platform.

"Apabila semakin malam, ia lebih teruk." Bahan kimia yang dikatakan pegawai itu dikatakan merujuk kepada disinfektan menurut pakar air, Ralph Riley, Kumpulan Penasihat Rawatan Air Kolam Renang berpangkalan di London.

"Jika ia bertukar hijau dan ia adalah kerana tidak mempunyai cukup disinfektan yang bakal menyebabkan beberapa risiko," kata Riley kepada USA TODAY menerusi telefon sebelum pengumuman FINA.

Bagi pasangan penerjun Britain, Jack Laugher dan Chris Mears pula menyukai warna kolam itu yang membantu mereka memenangi pingat emas pertama Britain dalam acara terjun Olimpik menewaskan China. "Kami sebenarnya menikmatinya (kolam air hijau.

Ia adalah berbeza daripada normal, ia senang dilihat. Saya tak rasa mereka mahu ia menjadi begitu, sudah pasti, tetapi saya rasa ia membantu kami." - Agensi

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA