Mirip Chong Wei, Ika Jadi Terkenal


PETALING JAYA: Seorang pelajar wanita menyifatkan dirinya ibarat terkena tempias kejayaan Datuk Lee Chong Wei apabila status yang dimuat naiknya dalam laman Facebook terhadap jaguh badminton negara itu menjadi viral.

Paparan skrin posting Ika Syazwani di Facebooknya, "Congrats my twin! #DatoLCW" menjadi viral di laman media sosial selepas netizen menyedari wajah Ika seiras dengan Chong Wei.

"Siapa sangka orang ramai akan kata wajah saya seperti Datuk Lee Chong Wei. Mungkin ia kerana kami mempunyai struktur wajah yang sama," kata Ika.

Menurut Ika, dia mempunyai darah kacukan Cina daripada neneknya.

Ini bukan kali pertama Ika menarik perhatian ramai kerana wajahnya mirip Chong Wei.

Imejnya pernah menjadi viral sejak 2013 dan dia kembali mendapat perhatian selepas Chong Wei meraih pingat perak di Olimpik Rio.

"Saya sentiasa ingin ketawa mengenai perkara ini kerana bagi saya segalanya amat kelakar. Saya tidak menjangka ia akan menjadi viral," kata Ika.

Pada masa sama, Ika mengakui mengikut pertembungan final antara Chong Wei dan lawannya, Chen Long dari China dan memuat naik perkembangan terkini perlawanan suku akhir antara jaguh badminton negara itu dengan Lin Dan.

"Datuk Lee berada pada prestasi terbaiknya. Saya amat teruja, saya seperti berada di Rio. Malah perlawanan itu lebih menarik apabila Datuk Lee mara ke final. Saya berasa bangga," katanya kepada The Star Online.

Selepas gambarnya menjadi viral, Ika menerima banyak permintaan orang ramai yang mahu menjadi rakannya di Facebook.

Malah individu tidak dikenali turut menghantar mesej bertanyakan nombor telefonnya. - mStar

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA