MH17: Malaysia Komited Capai Keadilan, Pertimbang Proses Pendakwaan - Ahmad Zahid

NEW YORK, 24 Ogos (Bernama) -- Malaysia akan mempertimbangkan opsyen pendakwaan ke atas pihak yang bertanggungjawab menjatuhkan pesawat MH17 selepas penyiasatan yang kini masih dijalankan oleh Pasukan Penyiasat Bersama (JIT) iaitu Belanda, Malaysia, Australia, Belgium dan Ukraine selesai.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Malaysia akan terus komited untuk mencapai keadilan bagi mangsa-mangsa pesawat MH17 yang terhempas di timur Ukraine berhampiran sempadan Rusia ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai 2014 yang mengorbankan 298 penumpang dan anak kapal.

Beliau berkata demikian pada sidang media kepada wartawan Malaysia selepas mempengerusikan Perbahasan Terbuka Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mengenai Pengeluaran Senjata Pemusnah Besar-besaran (WMD) di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di sini Selasa.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata buat masa ini penyiasatan masih dijalankan untuk menentukan pihak yang bertanggungjawab dalam menjatuhkan MH17 dan apabila penyiasatan itu selesai kelak, Malaysia akan mempertimbangkan opsyen yang terbaik untuk langkah seterusnya, iaitu proses pendakwaan.

"Kita perlu mengambil kira setiap aspek di dalam membuat keputusan ini bagi memastikan agar pihak yang bertanggungjawab tidak akan terlepas dari muka pengadilan," kata beliau.

Mengenai pendirian Malaysia sebagai anggota Majlis Keselamatan tentang perang di Syria yang telah berlarutan selama lebih lima tahun, Ahmad Zahid berkata Malaysia amat bimbang dengan peningkatan kegiatan ketenteraan oleh pihak-pihak yang terlibat dalam konflik di Syria dan krisis kemanusiaan yang berlaku ekoran peperangan yang berterusan.

Justeru, Malaysia menyeru semua pihak dalam konflik di Syria untuk menghentikan serangan ketenteraan dan membenarkan bantuan kemanusiaan, katanya.

"Kami mengutuk serangan rambang dan sasaran ke atas orang dan infrastruktur awam, termasuk serangan terhadap anggota dan fasiliti perubatan oleh kedua-kedua pihak kerajaan dan pembangkang," katanya.

Katanya laporan penggunaan senjata kimia serta 'barrel bomb' beberapa minggu kebelakangan ini adalah amat membimbangkan dan perlu dikutuk sekeras-kerasnya oleh masyarakat antarabangsa.

Malaysia juga kesal dengan penggunaan taktik pengepungan oleh kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang yang telah menyebabkan penderitaan dalam kalangan orang awam yang tidak berdosa, katanya.

"Kami menyeru semua pihak agar membenarkan anggota organisasi-organisasi kemanusiaan untuk menyampaikan bantuan perubatan ke beberapa bandar yang dikepung di Syria," kata beliau.

Ahmad Zahid berkata Malaysia menyokong penuh usaha berterusan oleh Duta Khas PBB Staffan de Mistura dan inisiatif untuk bertemu dengan pihak berkepentingan yang berkenaan di Geneva pada akhir bulan Ogos dan meneruskan dialog politik antara pihak-pihak yang bertentangan.

"Kami percaya konflik yang telah berlarutan selama lima tahun itu hanya boleh diselesaikan melalui penyelesaian politik," katanya.

Semasa Kepengerusian Majlis Keselamatan PBB oleh Malaysia, ia akan membincangkan isu Syria termasuk perihal mengenai penyambungan semula rundingan damai di Geneva dan Laporan Mekanisme Penyiasatan Bersama (JIM) untuk menyiasat penggunaan senjata kimia di Syria.

Ahmad Zahid berkata Malaysia turut memandang berat isu eksploitasi dan pencabulan seksual wanita dan kanak-kanak oleh pasukan pengaman PBB dan pasukan tentera antarabangsa yang ditempatkan di zon-zon konflik. -- BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA