Mesyuarat Kerajaan Negeri Sarawak Bersama Petronas 'Berhasil'


KUCHING - Mesyuarat melibatkan Kerajaan Negeri Sarawak yang diwakili Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani bersama Petronas disifatkan sebagai 'berhasil' di sini pagi tadi.

Pasukan Petronas diketuai oleh Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Upstream, Datuk Mohd Anuar Taib.

"Mesyuarat itu adalah produktif dan kami akan bertemu lagi pada hari Sabtu ini bagi menyelesaikan semua isu dan butiran yang berkaitan," kata Uggah, menurut kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh pejabatnya.

Antara perwakilan Petronas ialah Naib Presiden Kanan Kumpulan Pengurusan Sumber Manusia, Datuk Raiha Azni Abdul Rahman dan Naib Presiden Kanan Strategi Korporat, Adif Zulkifli.

Mesyuarat itu diadakan berikutan keputusan kerajaan negeri mengeluarkan moratorium ke atas semua permohonan baru bagi permit kerja untuk pekerja Petronas dari luar Sarawak untuk bekerja di negeri ini. - KLXpress

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA