Menteri 20 Hari


Jakarta: Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) kelmarin memecat seorang menteri Kabinet yang baru dilantik kerana mempunyai dua kerakyatan.

Arcandra Tahar yang dilantik sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli kira-kira 20 hari lalu dipecat selepas status kerakyatannya dipersoalkan.

Menurut undang-undang Indonesia, menteri Kabinet mestilah rakyat negara itu.

Setiausaha Negara Indonesia, Pratikno memberitahu, Jokowi membuat keputusan itu selepas mendapat maklumat mengenai status kerakyatan Arcandra.

“Susulan timbulnya persoalan mengenai status kerakyatan Menteri Tenaga dan Sumber Asli dan selepas menerima maklumat daripada pelbagai sumber, presiden memutuskan untuk memberhentikan dengan hormat Arcandra dari jawatannya,” katanya.

Menurutnya, Jokowi melantik Luhut Binsar Pandjaitan untuk memangku jawatan Menteri Tenaga dan Sumber Asli sehingga penggantinya dilantik.

Arcandra, 45, tinggal lebih 20 tahun di Amerika Syarikat (AS) dan dilaporkan mempunyai pasport negara itu dan Indonesia.

Dia kembali ke tanah air dengan menggunakan pasport Indonesia apabila dilantik menteri oleh Jokowi.

Arcandra adalah antara sembilan menteri baru yang dilantik dalam rombakan Kabinet kedua Jokowi Julai lalu.

Dia sebelum ini bertugas sebagai presiden sebuah syarikat perunding dan teknologi yang berpangkalan di Houston, AS sebelum kembali ke Indonesia.

Persoalan mengenai status kerakyatan Arcandra timbul Sabtu lalu apabila satu mesej di aplikasi WhatsApp mendakwa dia rakyat AS.

Arcandra dilaporkan memegang pasport AS selepas melalui proses naturalisasi pada Mac 2012, tetapi masih menggunakan pasport Indonesia miliknya yang belum tamat tempoh. - AP

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA