Mental Pemain Tidak Kuat - David Usop


KUALA TERENGGANU: Pengendali Sarawak, David Anak Usop kecewa dengan sikap tidak profesional anak buahnya menyebabkan mereka tewas 0-3 kepada T-Team dalam aksi Kumpulan A kancah Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.

Beliau mengakui jadual padat memberi kesan kepada kemerosotan pasukan selepas anak buahnya dilihat tidak bermaya terutama dalam babak pertama permainan.

"Saya akui, disebabkan keletihan selepas mengharungi perjalanan jauh dalam masa singkat selain berdepan dengan jadual padat, mentaliti pemainnya tidak cukup kuat.

"Sepatutnya mereka bersikap profesional kerana kalau ikutkan pasukan T-Team juga menghadapi situasi sama," katanya ditemui selepas perlawanan itu.

Dalam perlawanan itu, T-Team membuka jaringan menerusi penyerang import, Makan Konate yang melepaskan rembatan cantik terus menggegar jaring menewaskan Mohd Shahril Saari pada minit ke-14.

Pada minit 52, penyerang kelahiran Mali mencetak nama menerusi tandukan yang menyambut hantaran Muhammad Syuhiran Zainal.

Konate memainkan watak utama untuk gol ketiga apabila hantarannya berjaya disempurnakan dengan baik Muhammad Zulhanizam Shafine minit 73.

David berkata, kekalahan ke atas The Titans menyukarkan peluang skuad Ngap Sayot untuk layak ke suku akhir sekalipun berbaki dua perlawanan.

"Sekalipun kita beraksi di gelanggang sendiri dalam dua baki perlawanan, namun saya akui peluang merebut satu slot ke suku akhir agak tipis. Tapi, kita akan cuba mendapatkan keputusan terbaik," katanya.-BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA