Mayat Rentung Ditemui Dekat Tangki Air


GOMBAK: Satu mayat rentung ditemui di kawasan tangki air di Taman Muhibah, Batu Arang, Selangor, pagi tadi.

Mayat tanpa identiti itu ditemui seorang pengawal keselamatan selepas terhidu bau busuk dari kawasan itu sekitar jam 8.30 pagi.

Selepas melakukan pemeriksaan, pengawal itu menemui tengkorak dan cebisan daging manusia yang hangus sebelum memaklumkan kepada polis.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad, berkata berdasarkan pemeriksaan awal, mangsa dipercayai dibunuh kurang dari tiga hari.

Katanya, polis turut menemui beberapa tin minuman keras berhampiran mayat itu, dipercayai milik suspek yang membunuh mangsa.

"Polis masih berusaha mengenalpasti identiti dan jantina mangsa sebelum butiran selanjutnya dapat disahkan," katanya dihubungi BH sebentar tadi.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-61362899 atau datang ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. -BH


No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA