Masyarakat Perlu Prihatin Terhadap Golongan OKU


KUCHING: Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah menegaskan agar golongan Orang Kurang Upaya (OKU) juga perlu menjadi produktif dan diberi peluang pekerjaan supaya dapat hidup berdikari.

Fatimah berkata, Istilah kurang upaya masih menjadi suatu stigma di dalam masyarakat kita.

“Pertubuhan Kesihatan Sedunia mendefinisikan Kurang Upaya sebagai kekurangan fungsi atau struktur badan, yang menghadkan keupayaan seseoramg individu menangani pelbagai situasi kehidupan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Taklimat Rehabilitasi Ketiga Peringkat Negeri Sarawak di sini sebentar tadi.

Tambahnya, pertubuhan Kesihatan Sedunia juga telah melancarkan "Global Disability Action Plan" yang akan dilaksanakan daripada tahun 2014 hingga tahun 2021.

“Pelan ini bertujuan menpertingkatkan tahap kesihatan untuk semua golongan OKU,” ujarnya.

Beliau berkata jumlah OKU untuk di Sarawak yang sudah berdaftar dengan JKM seramai 35,574 dan mereka mendapat bantuan melalui JKM, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan agensi-agensi lain.

“Antara bantuan-bantuan tersebut termasuk bantuan kewangan, yang meliputi Bantuan Penjagaan OKU terlantar, dan bantuan OKU tidak bekerja,” jelasnya.

Menurutnya,  hampir 15% daripada populasi penduduk dunia termasuk Malaysia mempunyai masalah kurang upaya, sama ada kurang upaya fizikal, intelektual atau mental.

“Ini berlaku disebabkan peningkatan kes-kes penyakit tidak berjangkit seperti kencing manis, darah tinggi, dan masalah kolestrol adalah antara penyumbang kepada faktor risiko penyakit kardiovaskular seperti angin ahmar,” tambahnya.

Beliau menyarankan agar masyarakat prihatin terhadap golongan OKU di negara ini dan berharap melalui sokongan yang telah diberikan, mutu kehidupan golongan tersebut dapat menjadi lebih baik.

Terdahulu, Taklimat Rehabilitasi Ketiga Peringkat Negeri Sarawak telah dianjurkan oleh Jabatan Rehabilitasi, Hospital Umum Sarawak, bekerjasama dengan Kuching Spinal Injuries Association (Kusia) dan House of Joy Double Blessing Caring Society. – Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA