Masing: Isu Pemberhentian Pekerja Diharap Diselesai Secara Baik


KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar James Masing harap isu pemberhentian pekerja rakyat tempatan di Petronas dapat diselesaikan secara baik.

Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan itu berkata, ia ekoran daripada beberapa perbincangan dilakukan kedua-dua pihak selama ini, berjalan dengan baik.

“Seperti mana anda semua maklum, dalam akhbar baru-baru ini juga menyatakan perbincangan ‘membuahkan hasil’.

“Saya merasakan, perbincangan berjalan dengan lancar dan kita tunggu keputusan nanti dan percaya mesyuarat akan diteruskan kerana proses perbincangan masih lagi dijalankan,” katanya pada sidang media selepas lawatan kerja beliau ke Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak di Wisma Saberkas di sini semalam.

Menurut Masing, apa yang penting kini bagi mencapai satu keputusan yang baik, kedua-dua pihak harus memahami antara satu sama lain.

Jelasnya, Petronas harus memahami keperluan negeri ini begitu juga Sarawak yang akan memahami keperluan Petronas.

“Apapun kita mengharapkan satu keputusan yang amat baik,” tegasnya.

Sabtu lepas, mesyuarat kedua di antara kerajaan negeri dan Petronas ekoran keputusan untuk mengeluarkan moratorium ke atas semua permohonan baharu bagi permit kerja untuk pekerja bukan dari Sarawak bekerja di negeri ini sekali lagi digambarkan sebagai ‘berhasil’.

Sumber berkata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas percaya rakyat Sarawak boleh menjangkakan berita yang menggembirakan tidak lama lagi ekoran pertemuan susulan yang ‘berhasil’ semalam.

Turut dilaporkan menghadiri mesyuarat Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohd Morshidi Abdul Ghani.

Uggah dipetik sebagai berkata mesyuarat berjalan lancar dan beliau meminta orang ramai agar tidak membuat spekulasi mengenai perkara itu. - UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA