Markas Macau Scam Di Premis Kilang Diserbu, 97 Ditahan


KUALA LUMPUR: Tiga premis kilang dan sebuah banglo di Juru dan Prai, Pulau Pinang yang dijadikan markas sindiket penipuan Macau Scam diserbu petang tadi dan 97 orang anggota sindiket berkenaan ditahan.

Serbuan serentak bermula jam 12 tengah hari hingga 5 petang oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dan Pulau Pinang itu adalah hasil risikan selama tiga bulan selepas menerima maklumat orang awam yang curiga dengan aktiviti tiga buah kilang yang terletak di Juru itu.

Semua suspek berusia dalam lingkungan 20-an dan 30-an yang ditahan itu terdiri daripada 87 warga China termasuk 22 wanita, sembilan lelaki tempatan dan seorang lelaki Taiwan.

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani, berkata modus operandi sindiket itu adalah dengan membuat panggilan telefon palsu dan menyamar sebagai anggota polis atau kakitangan Bank Negara.

“Mangsa ditipu kononnya ahli keluarga mereka terbabit dengan masalah undang-undang atau perbankan dan perlu membayar sejumlah wang atau memindahkan wang dalam akaun bank mereka ke satu akaun lain bagi menyelesaikan masalah itu.

“Siasatan mendapati sindiket ini menyasarkan rakyat tempatan berketurunan Cina serta warga China sebagai mangsa,” katanya menerusi satu kenyataan, tadi.

Kata beliau, sindiket ini dikesan menjalankan aktiviti penipuan melalui telefon menggunakan kaedah ‘spoofing’ iaitu satu platform voice over internet protocol (VOIP) untuk memperdaya mangsa.

“Selain tangkapan, kita turut merampas pelbagai peralatan komputer, telefon, peranti sokongan serta empat buah kereta yang dianggarkan bernilai RM400,000.

“Kita belum dapat memastikan jumlah sebenar bilangan mangsa serta nilai kerugian. Buat masa ini, kita sedang meneliti rekod perbankan akaun yang digunakan untuk mangsa mendepositkan wang yang diminta,” katanya lagi.

Menurut Acryl Sani, semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang untuk proses dokumentasi dan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam untuk mendapatkan perintah reman, pagi Khamis.-BH.

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA