Maldives Ikut Jejak Langkah JPN Malaysia Bantu Rakyat Di Pedalaman


PUTRAJAYA : Maldives berminat untuk menggunakan pendekatan yang dilaksanakan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam usahanya membantu mereka yang tinggal di pedalaman dan kawasan terpencil mendapatkan kerakyatan.

Presiden Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Maldives, Dr. Aly Shameem berkata, beliau kagum dengan pendekatan itu dan memuji usaha jabatan kerajaan Malaysia itu yang menubuhkan pasukan petugas untuk membantu dan menyediakan dokumentasi kepada mereka yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri di kawasan pedalaman dan terpencil.

"Kami mempunyai masalah untuk menemui masyarakat di pulau yang jauh dan kami berharap untuk menyediakan perkhidmatan bergerak yang sama kepada mereka yang duduk jauh dan terpencil di seluruh kepulauan kami.

Justeru, saya agak tersentuh dengan pendekatan Malaysia yang membantu menyediakan dokumentasi kepada mereka di pedalaman ... satu inovasi (Maldives) dan negara membangun yang lain boleh mempelajari, " katanya kepada Bernama di luar Persidangan Pertubuhan Komanwel bagi Pentadbiran Awam dan Pengurusan (CAPAM).

Shameem yang juga menghadiri Persidangan Antarabangsa mengenai Strategi Lautan Biru (ICBOS) mengakui kejayaan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Malaysia dan berharap perkara yang sama dapat dilaksanakan di Maldives.

Beliau juga berkata ingin melihat pusat sehenti untuk mereka di kawasan pedalaman dan terpencil beroperasi suatu hari nanti di Maldives.

"Di Maldives, hanya pusat kesihatan di buka pada hujung minggu dan cuti umum. Maka, saya amat teruja untuk mempelajari kejayaan pusat UTC di Malaysia," katanya.

Shameem turut kagum dengan usaha Malaysia untuk mengurangkan jenayah dan pada masa yang sama mencapai ekonomi bidangan.

Beliau juga memuji Malaysia kerana mempamerkan kejayaan dan pencapaian dalam infrastruktur perkhidmatan awam dan inovasi yang beliau percaya menjadi bukti dan inspirasi untuk negara membangun melaksanakannya.

"Saya rasa Malaysia memainkan peranan yang baik untuk memberi tunjuk ajar dan kami semamangnya banyak belajar kerana kami melihat konsep itu dilaksanakan dengan baik di sini," katanya. - BERNAMA

1 comment:

  1. Adalah lebih baik jangan diikut cara malaysia..Takut nanti Maldives pulak penuh dengan pendatang asing yg mengambil kesempatan. Datang cara haram masuk duduk dan kahwin dengan orang asli. Lepas tu claim lahir disini tapi mak bapak tak daftar kelahiran.

    ReplyDelete

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA