Malaysia Sokong Dialog Untuk Pergerakan Global Terhadap Pengeluaran WMD - Ahmad Zahid



NEW YORK, 24 Ogos : Malaysia menyokong cadangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk membangunkan landasan dialog berstruktur di semua peringkat bagi meningkatkan lebih banyak kesedaran, dengan tujuan menjana dorongan yang diperlukan untuk pergerakan global yang kukuh terhadap pengeluaran Senjata Pemusnah Besar-besaran (WMD) kepada pelaku bukan negara.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata dialog itu harus melibatkan Anggota Parlimen, pihak industri, ahli akademik dan masyarakat awam.

Beliau berkata demikian pada perbahasan terbuka peringkat tinggi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mengenai pengeluaran senjata pemusnah besar-besaran, 'Cabaran Dalam Mendepani Percambahan Senjata Pemusnah Besar-besaran dan Kaedah Penghantaran, Bahan Berkaitan, Peralatan dan Teknologi Kepada Pelaku Bukan Negara' yang dipengerusikannya di ibu pejabat PBB di sini pada Selasa.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata Majlis Keselamatan perlu mengakui sumbangan sama penting oleh beberapa pengaturan atau inisiatif antarabangsa dan serantau dalam menangani pengeluaran WMD, khususnya oleh pelaku bukan negara.

"Secara kolektifnya dan menerusi pelbagai pendekatan negara, serantau dan antarabangsa, kita telah mencapai kemajuan besar dan perkembangan ketara dalam maklum balas terhadap isu pelbagai aspek yang kompleks ini," katanya. Beliau berkata Majlis Keselamatan, selaras dengan tanggungjawab utamanya untuk memelihatan keamanan dan keselamatan antarabangsa, sejajar dengan Tujuan dan Prinsip PBB, memainkan peranan penting dalam hal ini.

"Resolusi 1540 diakui sumbangan bersejarah oleh Majlis Keselamatan dalam bidang bukan pengawalan WMD. Kami memuji Sepanyol, sebagai Pengerusi Majlis Jawatankuasa 1540, atas kepimpinan berkesan dalam proses 'Resolution 1540 Comprehensive Review'.

"Delegasi saya berpendapat bahawa, dalam berbuat demikian dan sambil mengakui ancaman yang ditimbulkan kumpulan pengganas, teras resolusi ini - dalam mencegah percambahan WMD oleh pelaku negara dan bukan negara - perlu dikekalkan," kata Ahmad Zahid yang mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat itu.

Beliau berkata negara anggota perlu bergerak ke hadapan dengan mengukuhkan usaha global berdasarkan kemunculan ancaman dan cabaran, terutamanya dalam bidang sains dan teknologi, ICT dan perdagangan antarabangsa.

"Oleh itu, kami menyeru kepada Jawatankuasa 1540 untuk mengkaji semula secara berkala kemajuan perdagangan antarabangsa, saintifik dan berteknologi dalam kawalan berkaitan di bawah UNSCR 1540. Ini akan memastikan sinergi dalam penggabungan pelaksanaan kewajipan negara, dengan mengambil kira risiko eksponen terhadap penyalahgunaan kemajuan ini," katanya. - BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA