Malaysia Perkenal Pelancongan Bebas Pencemaran


LANGKAWI: Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan akan memperkenalkan pelancongan berkonsep bebas pencemaran (lung washing) sebagai satu daripada inisiatif baharu di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) kementerian.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) kementerian, Datuk Rashidi Hasbullah, berkata ia bertujuan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi bebas pencemaran dan menyasarkan pelancong yang ingin menikmati kehijauan alam semula jadi.

"Sesetengah pelancong menganggap negara mereka sangat tercemar dan Malaysia amat bersih.. tiada pencemaran. Apabila mereka datang ke negara ini, ia seperti pembersihan "(lung washing) untuk mereka dan kita perlu mempromosikan ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja mengenai Cabaran Baharu: Dasar, Inovasi dan Rangka Kerja Strategi bagi Pertumbuhan Pelancongan pada Simposium Pelancongan Langkawi, yang berakhir hari ini.

Beliau mencadangkan supaya idea itu dimasukkan dalam Pelan Tindakan Pelancongan Langkawi 2.0, yang kini dimuktamadkan dan dijangka diumumkan menjelang Oktober tahun ini.

Rashidi berkata, kementerian juga mengkaji untuk menjadikan pelantar minyak yang ditinggalkan berhampiran pantai Malaysia sebagai pusat pelancongan pesisir, melancarkan pelayaran feri Pan-Malaysia serta mempromosi negara sebagai lokasi bagi pembikinan filem dan drama.

Beliau berkata, inisiatif lain ialah memperhebatkan promosi destinasi laluan jalan kaki, menjalankan kempen melalui media sosial, "Malaysia on air", program kesihatan dan menjana dana daripada aktiviti kebudayaan. - BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA