Malaysia Optimis Raih Lima Pingat


RIO DE JANEIRO – Atlet negara dilihat masih bersemangat untuk menghasilkan lima lagi pingat buat kontinjen Malaysia selepas menyaksikan gandingan Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong menghadiahkan pingat pertama buat kontinjen Olim­pik negara di Rio.

Kejayaan Pandelela dan Jun Hoong meraih pingat perak dalam acara terjun wanita 10 meter platform serentak, me­nyemarakkan semangat atlet lain dalam acara badminton dan berbasikal.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M. Saravanan turut yakin dan percaya bahawa ba­nyak lagi pingat bakal diperoleh dalam acara terjun, badminton dan menerusi pakar berbasikal keirin, Azizulhasni Awang.

Beliau berkata, berdasarkan prestasi semasa, harapan tinggi terletak pada acara badminton untuk menyumbang dua pingat menerusi Datuk Lee Chong Wei dalam acara perseorangan lelaki dan acara beregu.

“Bagi acara terjun, Pandelela dan Jun Hoong berpeluang ce­rah masing-masing dalam acara 10m platform individu dan 3m papan anjal,” katanya.

Saravanan yang melawat perkampungan sukan di Rio kelmarin berkata, beliau berpuas hati terhadap prestasi 32 atlet negara, namun kesal de­ngan acara memanah.

Semalam, trio recurve lelaki gagal mencapai harapan selepas Khairul Anuar Mohamad tidak berjaya meraih slot 16 pemanah terbaik untuk ke pusi­ngan seterusnya.

Sementara itu Ketua Kontinjen Malaysia, Tan Sri Mohamed Al Amin Abdul Majid yang me­ngiringi Saravanan ke perkampungan sukan turut berharap semua atlet negara dapat memberi persembahan terbaik.

“Terdapat kekecewaan atas beberapa sebab, namun layak ke Olimpik sudah merupakan suatu kejayaan,” katanya.

Setakat ini, atlet memanah, angkat berat dan menembak sudah menghabiskan misi me­reka di Rio. – Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA