Malaysia Lakar Sejarah Gemilang Di Bangkok

Foto: Harian Metro

KUALA LUMPUR: Skuad negara melakarkan sejarah gemilang apabila muncul juara Kejohanan Bola Jaring Asia ke-10 di Stadium Nasional Bangkok, Thailand.

Kejayaan itu memberi suntikan semangat buat skuad negara menghadapi temasya dwitahun Sukan SEA di Kuala Lumpur tahun depan.

Menghuni ranking kedua di belakang Singapura kejayaan menewaskan Sri Lanka pada perlawanan akhir semalam begitu bermakna buat skuad bimbingan Aminah Asari.

Lebih menggembirakan ia kejayaan kali kedua skuad negara di kejohanan Asia itu selepas kali terakhir memenangi pada 1985 - edisi pertama penganjurannya.

Malaysia memulakan langkah awal dengan mendahului lawan dengan selesa pada suku pertama 11-5. Memasuki suku kedua Sri Lanka cuba mengekori namun ketangkasan kawalan barisan pertahanan negara meletakkan skuad negara empat mata di depan.

Malaysia terus melebarkan penguasaan pada suku ketiga dengan 29-23 dan menamatkan aksi 41-31.

Musuh tradisi negara yang juga pemenang pingat emas Sukan SEA, Singapura ketiga selepas menewaskan Hong Kong.

Presiden Persatuan Bola Jaring Malaysia Datuk Suraya Yaacob berkata, pasukan negara menunjukkan persembahan yang jauh lebih baik pada perlawanan akhir berbanding ketika aksi separuh akhir kelmarin.

“Saya gembira dengan kejayaan kita. Mereka bermain dengan baik berbanding ketika turun bertemu Hong Kong dalam perlawanan separuh akhir. Itu yang membawa kejayaan kita hari ini selepas 31 tahun,” katanya. - HMetro

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA