Malaysia-Indonesia Setuju Selesaikan Isu Laut Sulawesi Secara Tuntas


Malaysia dan Indonesia bersetuju untuk menyelesaikan isu perairan di Laut Sulawesi secara tuntas agar ia tidak tertangguh terlalu lama.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata penyelesaian secara tuntas itu akan menghasilkan satu bentuk keputusan yang komprehensif dan boleh diterima kedua-dua negara tidak lama lagi.

Katanya, isu perairan Sulawesi telah mempunyai kemajuan, namun kedua-dua negara bersetuju untuk mencari satu bentuk penyelesaian yang komprehensif.

Berucap pada kenyataan bersama selepas majlis Perundingan Tahunan Malaysia-Indonesia yang berlangsung di Istana Kepresidenan di sini hari ini, Najib berkata walaupun terdapat sedikit kemajuan menerusi utusan khas kedua-dua negara, satu bentuk keputusan yang komprehensif adalah diperlukan supaya kedua-dua negara akhirnya menerima satu keputusan yang boleh diterima.

Rundingan antara Malaysia dan Indonesia berlangsung sejak lebih 10 tahun bagi menyelesaikan kawasan sempadan dan hak milik di perairan selatan Sulawesi namun masih belum mencapai keputusan muktamad mengenainya.

Najib juga berkata dalam Perundingan itu juga kerajaan Malaysia bersetuju untuk mencari kaedah bagi melindungi hak pekerja asing rakyat Indonesia di Malaysia.

Katanya, Kementerian Sumber Manusia dari kedua-dua negara akan mengeluarkan beberapa cadangan bagi menyelesaikan sebarang perkara berbangkit termasuk untuk meningkatkan tahap kemahiran pekerja asing itu.

Antara anggota delegasi Malaysia yang menghadiri Perundingan itu ialah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Gabenor Bank Negara Datuk Muhammad Ibrahim.

Perundingan Malaysia-Indonesia ke-11 itu adalah yang pertama antara Najib dan Presiden Joko Widodo sejak beliau dilantik sebagai Presiden Indonesia pada tahun 2014.

Jokowi dalam kenyataannya berkata Indonesia menyambut baik hasil rundingan yang dijalankan dan berharap beberapa keputusan positif akan dicapai menerusi rundingan lanjut.

Katanya, antara perkara yang dibincangkan dalam Perundingan itu ialah isu tenaga kerja Indonesia, isu maritim dan juga isu kerjasama ekonomi.BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA