Malaysia Garis 4 Langkah Atasi WMD


NEW YORK: Penyemakan semula peraturan bio-sekuriti adalah antara empat langkah yang dicadangkan oleh Malaysia kepada masyarakat antarabangsa bagi menangani senjata pemusnah besar-besaran (WMD) secara menyeluruh.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC), semalam turut mencadangkan penyemakan semula peraturan keselamatan kimia, kawalan eksport dan pembiayaan ketakcambahan WMD mengikut Resolusi UNSC 1540.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, isu ketakcambahan WMD sebelum ini sering dikaitkan dengan perkembangan lembap dalam usaha perlucutan senjata berkenaan.

"Masyarakat antarabangsa harus terus memikir dan membincangkan bagaimana komitmen terhadap perlucutan senjata ini dapat dilaksanakan untuk mencegah daripada berlakunya kemusnahan," katanya.

Mesyuarat UNSC ke-7,758 dan debat mengenai Cabaran Dalam Menangani Percambahan WMD, Maksud dan Penghantaran Bahan-Bahan Berkaitan, Peralatan dan Teknologi Negeri Bukan Pelaku (Non-state actors) itu, turut dihadiri oleh Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon.

Mesyuarat yang dipengerusikan Malaysia selaku Presiden UNSC bagi bulan Ogos turut dihadiri Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman serta Wakil Tetap Malaysia ke PBB, Datuk Ramlan Ibrahim.

Penggal Malaysia sebagai anggota majlis keselamatan itu berakhir Disember depan. Lebih 60 negara anggota PBB serta pertubuhan serantau seperti Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM), Pertubuhan Amerika Syarikat (OAS) dan Kesatuan Eropah mengambil bahagian dalam perbahasan sehari itu.

Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau berpuas hati dengan debat terbuka kerana ia memberi peluang kepada negara anggota PBB membincangkan kerjasama praktikal yang boleh dilakukan di samping cabaran yang dihadapi dalam isu ketakcambahan WDM.

Selain itu, katanya, cadangan untuk mewujudkan dialog secara formal di antara kerajaan, ahli parlimen, pakar industri, ahli akademik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam mengawal risiko ketakcambahan perlu diberi perhatian.

"Masyarakat antarabangsa perlu menyokong penuh inisiatif bagi menyelaraskan pembinaan keupayaan serta bantuan di antara negara yang memerlukan dan memberi bantuan dalam menangani isu berkenaan," katanya. -BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA