Malaysia Dihormati Sebagai Presiden Majlis Keselamatan PBB - Ahmad Zahid


NEW YORK, 26 Ogos (Bernama) -- Malaysia selaku presiden Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) telah menyerlahkan kecemerlangan dasar-dasar kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, menurut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sepanjang kepengerusian itu, banyak isu telah dibangkitkan, satu daripadanya isu mengekang percambahan pengeluaran senjata pemusnah besar-besaran yang telah meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara dihormati dunia, katanya kepada wartawan Malaysia di sini.

Ahmad Zahid sendiri mempengerusikan debat terbuka majlis mengenai perkara itu, yang diadakan atas kapasiti Malaysia selaku presiden Majlis Keselamatan, selaras dengan prinsip dan pendirian untuk mengekang percambahan pengeluaran senjata pemusnah besar-besaran.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berada di Amerika Syarikat sejak 22 Ogos untuk lawatan kerja lima hari.

Katanya antara isu yang diketengahkan dan diperjuangkan oleh Malaysia selaku anggota Majlis Keselamatan PBB ialah isu perlindungan kanak-kanak dalam konflik bersenjata.

Malaysia juga telah mempengerusikan kumpulan Kerja Majlis Keselamatan mengenai Kanak-Kanak dan Konflik Bersenjata (CAAC).

Ahmad Zahid berkata Malaysia dan Majlis Keselamatan PBB juga memandang berat isu eksploitasi dan pencabulan seksual oleh pasukan pangaman PBB dan tentera antarabangsa yang ditempatkan di zon-zon konflik.

Katanya kerajaan Malaysia di bawah kepimpinan Najib juga berjaya memain peranan aktif dalam Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan Malaysia akan diwakili pada Sidang Kemuncak NAM dijadual pada bulan depan di Venezuela.

Malaysia juga banyak membantu dalam isu pelarian dan migran khususnya dari Syria dan Myanmar, katanya dan menurutnya pada Perhimpuan Agung PBB (UNGA) tahun lepas Najib telah memberikan komitmen untuk menerima 3,000 pelarian Syria dalam tempoh lima tahun.

Selain membantu pelarian Syria, dasar kerajaan di bawah Najib juga turut membantu pelarian Islam Rohingya, katanya.

Ahmad Zahid berkata kerajaan juga aktif menangani dan memerangi keganasan antarabangsa dengan bantuan dan kerjasama pasukan polis antarabangsa, Interpol.

Program radikalisasi ke atas tahanan disyaki pengganas yang dipelopori Malaysia juga kini diterima pakai di peringkat antarabangsa, katanya.

"Malaysia juga aktif menyumbang pasukan keselamatan yang terdiri daripada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk bertugas di bawah panji-panji PBB di Lubnan," katanya.

Timbalan perdana menteri berkata isu Palestin juga adalah satu daripada isu penting yang diperjuangkan oleh Malaysia dalam Majlis Keselamatan PBB, terutama hak untuk mencapai kemerdekaan untuk negara Palestin berdasarkan sempadan 1967.

"Sebagai anggota Majlis Keselamatan PBB, Malaysia telah mengadakan mesyuarat tidak rasmi Majlis Keselamatan PBB mengenai situasi di Gaza, manakala pada bulan Mei tahun ini, kita telah mengadakan satu lagi mesyuarat untuk menggesa agar perlindungan antarabangsa diwujudkan bagi melindungi hak-hak asasi rakyat Palestin yang sering ditindas oleh Israel.

"Kerajaan pimpinan Najib juga telah menawarkan pelbagai bantuan kemanusiaan termasuk ubat-ubatan kepada pelarian dan membantu serta mempermudahkan penghuluran bantuan kemanusiaan oleh badan-badan bukan kerajaan (NGO) kepada para pelarian.

"Kerajaan Malaysia juga banyak menghulurkan bantuan kepada mangsa bencana khusunya di negara-negara jiran yang ditimpa bencana termasuk menghulurkan bantuan pasukan penyelamat SMART dan pertahanan awam serta anggota ATM selain membantu dalam mengurangkan risiko bencana.

"Di bawah kepimpinan Najib, dasar-dasar luar negara telah diterjemahkan untuk dilaksanakan," kata Ahmad Zahid.

Katanya Malaysia turut menyediakan gudang makanan yang ditempatkan di pangkalan tentera udara di Subang untuk membantu mangsa bencana di seluruh Asia.

Ini merupakan lawatan rasmi ketiga Ahmad Zahid ke Amerika Syarikat sejak dilantik sebagai timbalan perdana menteri pada Julai tahun lepas.

BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA