Malaysia Berada Di Landasan Yang Betul Jadi Sebuah Negara Maju


JAKARTA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata, Malaysia berada di landasan yang betul untuk menjadi sebuah negara maju yang menjaga kebajikan rakyat.

Katanya, dasar-dasar kerajaan seperti memberi bantuan tunai kepada rakyat yang memerlukan menerusi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM), rasionalisasi subsidi minyak dan juga pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju dan menjaga kebajikan rakyatnya.

"Hasil perjumpaan saya dengan Presiden Jokowi (Joko Widodo), beliau memuji langkah kerajaan Malaysia dan mengakui cabaran yang dihadapi oleh Indonesia adalah lebih besar walaupun melaksanakan dasar yang sama seperti Malaysia," katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Bersama Rakyat Malaysia di Kedutaan Besar Malaysia di sini malam tadi.

Najib berada di Jakarta dalam rangka lawatan kerja selama tiga hari bermula semalam dan beliau dijadual menghadiri Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) yang bermula hari ini.

Katanya, beliau dimaklumkan oleh Jokowi, Indonesia juga memberikan bantuan kewangan kepada rakyatnya yang miskin, mengurangkan subsidi minyak dan mengenakan GST yang lebih tinggi daripada Malaysia.

"Jokowi beritahu langkah mengurangkan subsidi minyak dan pelaksanaan GST telah mengakibatkan populariti beliau dilaporkan jatuh sebanyak 70 peratus tetapi sebenarnya langkah itu telah memberi manfaat kepada pembangunan rakyat dan negara," katanya.

Najib berkata, di Indonesia, wang hasil pengurangan subsidi dan GST di negara itu dapat digunakan untuk pembangunan infrastruktur dan pemberian tunai dalam akaun bank rakyat miskin yang memerlukan bantuan.

Perdana Menteri berkata, sama seperti di Malaysia, kerajaan juga mengambil langkah tidak popular dengan rasionalisasi subsidi minyak dan melaksanakan GST demi kepentingan pembangunan negara dan menyalurkan bantuan tunai kepada rakyat.

"Kita telah menjimatkan wang sebanyak RM22 bilion menerusi rasionalisasi subsidi minyak dan kita mencari kaedah untuk pindahkan kepada bantuan rakyat yang memerlukan," kata beliau.

Katanya, dasar memberi bantuan kepada golongan yang memerlukan telah merancakkan ekonomi mikro dan apabila ekonomi mikro menjadi bagus ia seterusnya menyumbang kepada pembangunan ekonomi makro.

Indonesia telah menyatakan minat untuk mengikuti dasar kerajaan Malaysia yang mencatat pertumbuhan ekonomi sebanyak 5 peratus dengan kadar inflasi yang begitu rendah.

Beliau berkata, dasar Malaysia itu telah dipuji oleh sebuah negara asing dan ia membuktikan Malaysia berada di landasan yang tepat.

"Negara luar memandang tinggi kita tetapi terdapat di kalangan rakyat kita yang memandang rendah negara sendiri, seharusnya kita bersama-sama membangunkan negara... kita boleh melakukan lebih baik (supaya) negara kita akan maju dengan sokongan semua.

“Jika ada kekurangan kita tambahbaikkan dan fokus kita ialah perjuangan bagi membela nasib rakyat yang memerlukan," katanya.

Najib berkata, Malaysia kini berada di kedudukan ke-18 daripada 140 negara, mengukuhkan kedudukannya dalam kalangan 20 ekonomi utama paling berdaya saing di dunia dan ia adalah sesuatu yang memberangsangkan.

Katanya, Malaysia akan terus mengembangkan rangkaian kerjasama dengan Indonesia dan akan mencari peluang-peluang perniagaan di Indonesia untuk membantu golongan ahli perniagaan dari Malaysia.

Majlis itu turut dihadiri bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, beberapa menteri kabinet dan lebih 200 rakyat Malaysia termasuk para pelajar, ahli perniagaan dan rakyat Malaysia yang menetap di Indonesia. - Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA