Makna Sebenar Patriotisme Di Setiap Peringkat - Najib


Semangat patriotisme sebenarnya bukan sekadar mengibarkan Jalur Gemilang, menyanyikan lagu kenegaraan atau mengangkat ikrar taat setia terhadap prinsip-prinsip Rukun Negara menurut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Malah katanya, patriotisme adalah lebih daripada itu dan mempunyai beberapa tingkat.

Melalui laman blognya hari ini, Najib berkongsi tentang soal patriotisme dan makna yang sebenar di sebaliknya sempena bulan kemerdekaan yang bakal tiba nanti.

"Peringkat pertama, patriotisme bermakna kita bersama-sama berganding bahu ke arah mencapai sebuah matlamat yang murni buat tanah air kita. Setiap perkara yang kita lakukan, pekerjaan kita usahakan, dengan niat untuk meningkatkan taraf hidup sesama kita boleh disifatkan sebagai semangat patriotisme,"

"Peringkat atau tahap kedua adalah usaha yang kita berikan secara ikhlas untuk membantu insan-insan yang lain.

Beliau turut melahirkan rasa bangga terhadap anak muda yang mula menceburi bidang sukarelawan melalui NGO-NGO bagi membantu golongan yang memerlukan.

"Peringkat ketiga adalah usaha serta pengorbanan mempertahankan keharmonian dan kedaulatan hatta pergorbanan nyawa sekalipun,"

"Pengorbanan pasukan keselamatan kita yang berhadapan dengan risiko kehilangan nyawa pada setiap masa dalam melindungi negara ini adalah tergolong dalam kategori ini,"

Namun begitu katanya, orang awam yang lain juga mempunyai tanggungjawab melindungi keharmonian masyarakat.

"Kita harus mengelakkan daripada berlakunya perselisihan, hentikan pergaduhan dan sentiasa berjaga-jaga dengan ancaman fitnah yang tersebar kerana ini semua akan merosakkan keharmonian negara,"

"Jadi, saya ingin bertanya, “Di mana peringkat kita?” - Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA