Majikan Ingkar Bayar Gaji Minimum Baharu Diburu

MARAN: Bermula Isnin, Kementerian Sumber Manusia melaksanakan operasi besar-besaran memeriksa 600,000 syarikat swasta pelbagai sektor di negara ini bagi mengesan majikan yang masih ingkar melaksanakan Skim Gaji Minimum yang telah berkuatkuasa 1 Julai lepas.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abd Mutalib berkata, kementerian tidak akan berkompromi dalam hal itu kerana telah memberi ruang dan peluang yang secukupnya untuk mematuhi arahan tersebut.

“Ini fasa kedua pelaksanaan gaji minimum dengan kadar baharu RM1,000 di Semenanjung dan RM920 di Sabah, Sarawak dan Labuan, jadi kalau mereka ingkar penalti menanti mereka.

“Kita bukannya mengambil tindakan undang-undang secara melulu kerana sejak awal lagi kita telah buat kempen dan klinik kesedaran kepada semua majikan seluruh negara supaya mereka faham konsep pelaksanaan gaji minimum ini,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis meraikan bakal-bakal haji Parlimen Maran 2016 di sini, Selasa.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Maran selanjutnya berkata, pelaksanaan fasa baharu gaji minimum telah diputuskan bersama dengan semua pihak termasuk majikan, wakil pekerja dan juga kerajaan bagi memastikan ia tidak membebankan mana-mana pihak.

Sehubungan itu, katanya, semua majikan perlu mematuhi pelaksanaan skim gaji minimum berkenaan, yang bukan sahaja akan memberi manfaat kepada pekerja tetapi juga kepada syarikat mereka.

“Majikan yang berasa terbeban perlulah menyusun kembali perniagaan untuk menguruskan kewangan mereka dengan lebih baik, kalau boleh kita tidak mahu mengenakan tindakan undang-undang, tetapi majikan perlulah akur,” katanya.

Menurutnya, majikan atau syrikat yang masih berdegil dan ingkar boleh dikenakan denda sehingga RM220,000 atau pun dikenakan hukuman penjara selama lima tahun.

Sementara itu, Ismail turut mengingatkan bakal bakal haji mengelakkan diri daripada menghadiri sebarang perhimpunan atau terbabit kegiatan kumpulan pengganas Daesh.

“Tujuan utama ke Tanah Suci Mekah adalah untuk beribadat dan bukan melakukan sebarang kegiatan bertentangan agama atau undang-undang negara Arab Saudi dan kerajaan tidak akan bertanggungjawab jika ada dalam kalangan jemaah ditangkap kerana terlibat dengan kegiatan itu,” katanya. – Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA