Maharaja Jepun Mungkin Umum Turun Takhta Hari Ini


TOKYO – Maharaja Jepun, Akihito, 82 akan bertitah kepada rakyat menerusi televisyen hari ini antara lain menggariskan kebimbangan baginda yang tidak mampu lagi melaksanakan tugas sepenuhnya, seolah mahu turun takhta.

Penyiar awam NHK melaporkan bulan lalu Akihito, yang menjalani pembedahan jantung dan menghidap kanser prostat, mahu melepaskan takhta dalam beberapa tahun lagi, satu langkah yang tidak pernah berlaku dalam sejarah Jepun moden.


Selepas ditabalkan, Maharaja Jepun ditakrifkan dalam perlembagaan sebagai simbol “perpaduan rakyat” dan tidak mempunyai kuasa politik. Kerana itu, baginda tidak akan menyatakan secara terang-terangan mahu berundur, yang boleh ditafsirkan adanya sebagai campur tangan dalam politik.

Tinjauan menunjukkan majoriti rakyat biasa Jepun bersimpati dengan keinginan Maharaja untuk bersara, tetapi perubahan undang-undang diperlukan untuk membenarkan baginda berbuat demikian.

Idea ini mencetuskan bantahan daripada parti konservatif Perdana Menteri Shinzo Abe, yang bimbang perdebatan mengenai masa depan keluarga diraja itu boleh merebak kepada topik membiarkan wanita mewarisi dan melepaskan takhta.

Kebelakangan ini Akihito mengurangkan tugas rasmi, dan diganti warisnya, Putera Naruhito, 56. Naruhito hanya mempunyai seorang anak perempuan.

Oleh kerana hanya lelaki yang boleh mewarisi takhta, Naruhito akan melepaskan takhta seterusnya kepada adiknya, Putera Akishino dan seterusnya kepada anaknya Hisahito, 9. – Agensi

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA