Lumpuh Bukan Penghalang Berjaya Dalam Sukan


KUCHING: Lumpuh sejak 37 tahun lepas bukan penghalang bagi bekas atlet paralimpik negara, Law King Kiew untuk menempa kejayaan dalam arena sukan.

Kejadian jatuh pokok ketika membantu ayahnya di kebun lada hitam pada tahun 1979 pernah menyebabkan Law patah semangat untuk meneruskan kehidupan.

Apa tidaknya, insiden yang menyebabkannya lumpuh memberi banyak kesan kepada kehidupan terutama untuk menjalani kegiatan harian.

Menurut Law, sekitar tahun 1995, atlet berasal dari Bintangor itu mula menjinakkan diri dengan arena sukan yang diminatinya sejak kecil.

"Saya agak lama untuk bermula dengan sukan kerana mengumpul duit untuk berlatih dan membeli peralatan sukan.

"Pada mulanya saya terlibat dengan perlumbaan kerusi roda dan memenangi pingat emas Sukan Paralimpiad pada tahun 1997," katanya.

Tanpa menoleh ke belakang lagi katanya, beliau terus berlatih bersungguh dan mencuba acara lain.

"Hasilnya pada tahun 2009, saya memenangi dua pingat emas acara merejam lembing dan lempar cakera F55 (berkerusi roda) Sukan Para Asean," ujarnya yang berusia 56 tahun.

Selepas itu, minatnya dalam sukan semakin menebal dan acara powerlifting terus menjulang namanya ke peringkat lebih tinggi.

Tahun 2000 menyaksikan Law meraih tempat kelima acara powerlifting Sukan Paralimpik di Sydney namun terpaksa menarik diri pada temasya sama di Athens empat kemudian akibat menjalani rawatan kesihatan. -Sarawakiana


No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA