Lulusan Perubatan Tidak Boleh Jadi Doktor Sambilan Jika Belum Diiktiraf MMC


PUTRAJAYA: Lulusan perubatan yang masih belum mempunyai sijil pengamal perubatan tidak dibenarkan bekerja sebagai doktor sambilan di mana-mana klinik atau hospital swasta di seluruh negara, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam.

Beliau memberi amaran sekiranya ingkar dengan peraturan itu, mereka berisiko untuk ditangkap dan diambil tindakan mengikut Kanun Prosedur Jenayah kerana menawarkan perkhidmatan perubatan secara haram.

Katanya, ini kerana mereka masih belum diiktiraf Majlis Perubatan Malaysia (MMC) dan perbuatan itu boleh dianggap sebagai jenayah iaitu menyamar sebagai doktor kerana ijazah perubatan yang dimiliki mereka bukan lesen sah untuk merawat pesakit.

“Sebagai contoh, sekiranya seorang pelajar lepasan perubatan yang tidak diiktiraf menyuntik pesakit dan kalau ia menjadi kes sehingga pesakit membuat laporan polis, kementerian akan menyiasat latar belakangnya.

“Dan apabila mendapati doktor itu tidak mendaftar di bawah MMC dan tidak mempunyai sijil pengamal perubatan, maka tindakan jenayah boleh diambil ke atas mereka dan ada kemungkinan tidak lagi layak menjalani latihan pengamal perubatan itu,” katanya dalam sidang media di sini semalam.

Mengenai alasan lulusan perubatan yang sedang menunggu untuk ditempatkan sebagai doktor pelatih di hospital kerajaan untuk bekerja kerana khuatir pengetahuan serta kemahiran akan hilang, Dr Subramaniam berkata alasan itu tidak boleh diterima sebaliknya mereka boleh terus menimba ilmu dengan membaca buku, mendapatkan segala maklumat secara dalam talian atau menghadiri kursus-kursus perubatan.

“Pelajar lepasan perubatan ini tidak boleh menyentuh atau merawat pesakit, sekiranya mahu memerhati cara atau belajar daripada doktor terlatih, ia dibenarkan.

“Tetapi menawarkan perkhidmatan secara sambilan dan menerima duit melalui kegiatan itu adalah salah dan melanggar undang-undang negara ini,” katanya.

Mengakui tempoh menunggu adalah sangat panjang bagi mendapatkan tempat sebagai doktor pelatih di hospital kerajaan, Dr Subramaniam berkata kementerian sedang mencari penyelesaian untuk mengatasi masalah ini dan dijangka selesai pada akhir tahun ini.

“Saya berharap graduan perubatan, pergigian dan farmasi dapat bersabar kerana sekiranya cadangan berkenaan diterima oleh JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) untuk mengurangkan tempoh menunggu kepada empat hingga lima bulan berbanding tempoh sekarang enam hingga sembilan bulan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Subramaniam menolak persepsi yang mengatakan Malaysia tidak mempunyai pakar untuk merawat dan mengawal penagih dadah di negara ini.

Buat masa ini, katanya, kementerian mempunyai sebanyak 414 klinik methadone (359 klinik kesihatan dan 55 di hospital) untuk merawat sebanyak 41,265 pesakit ketagihan dadah di seluruh negara.

“Secara am, kementerian mempunyai 191 pakar perubatan psikitari untuk merawat ketagihan dadah dan daripada jumlah itu, enam ada latihan lanjutan subkepakaran di dalam bidang itu,” katanya. — Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA