Lima Negeri Catat Kes Leptospirosis Tertinggi


PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan menggesa orang ramai sentiasa menjaga kebersihan kerana ia menjadi antara asas utama bagi mengelak penularan penyakit berjangkit Leptospirosis.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata Leptospirosis adalah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh patogen Leptospira yang boleh berjangkit secara langsung daripada haiwan kepada manusia.

Katanya, bakteria itu terdapat dalam air kencing haiwan yang dijangkiti seperti tikus, kucing, lembu, kambing, kuda dan haiwan lain, yang boleh dijangkiti sekiranya terdedah ataupun secara langsung melalui air yang tercemar dengan air kencing haiwan yang dijangkiti penyakit itu.

"Leptospirosis adalah penyakit yang berpunca daripada masalah kebersihan persekitaran dan berkait rapat dengan amalan kebersihan diri," katanya pada sidang media di pejabatnya, di sini, hari ini.

Sebanyak lima negeri menyumbang kes Leptospirosis tertinggi iaitu Sarawak sebanyak 551 kes, Selangor (502 kes), Kelantan (482 kes), Terengganu (419 kes) dan 205 kes di Kedah.

Antara Januari hingga Ogos 2015 sebanyak 5,632 kes dicatatkan manakala Januari sehingga Ogos tahun ini, berkurangan kepada kepada 3,212 kes.

Dr Subramaniam berkata, kebiasaannya di tempat riadah atau rekreasi, penyakit itu mudah berjangkit berikutan pembiakan tikus yang banyak disebabkan sisa makanan yang tidak dibersihkan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya makan di tempat yang bersih dan elak meminum air atau mandi air sungai yang tidak mengalir laju kerana dikhuatiri dicemari penyakit itu.

"Kesan dan tanda awal dijangkiti penyakit ini adalah demam dan sakit badan. Pesakit boleh merujuk ke klinik atau hospital berdekatan untuk membuat pemeriksaan darah atau pun air kencing.

"Pihak kementerian akan bekerjasama dengan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam usaha meningkat kesedaran umum mengenai kebersihan persekitaran termasuk menghindari pembuangan sisa makanan," katanya.-BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA