Letupan Bom Di Pakistan, Lima Terbunuh


QUETTA, Pakistan: Sekurang-kurangnya lima orang terbunuh manakala 30 lagi cedera apabila sebutir bom meletup di sebuah hospital utama di barat daya bandar di sini, kata seorang pegawai kanan kerajaan.

Angka kematian dijangka meningkat.

Setiausaha Dalam Negeri di wilayah bergolak Balochistan, Akbar Harifal, berkata letupan berlaku selepas beberapa peguam dan wartawan berkumpul di hospital berikutan kematian Presiden Persatuan Peguam Balochistan dalam satu kejadian tembakan berasingan awal pagi ini.

"Presiden persatuan itu, Bilal Anwar Kasi, menjadi sasaran dua lelaki bersenjata yang tidak dikenali ketika meninggalkan rumahnya pagi tadi," katanya.

Belum ada pihak yang mengaku bertanggungjawab ke atas serangan itu.

Balochistan, yang bersempadan dengan Iran dan Afghanistan, kaya sumber minyak dan gas tetapi berdepan serangan militan, keganasan antara puak Sunnah dan Syiah serta pemberontakan pemisah. - AFP

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA