Leptospirosis : Semua Aktiviti Luar Sekolah Berkaitan Air Ditangguh


KUALA NERANG: Kementerian Pendidikan mengarahkan semua kegiatan luar sekolah yang berkaitan aktiviti di air ditangguhkan sementara waktu susulan kes leptospirosis atau kencing tikus yang mengorbankan nyawa seorang guru di Kedah, malam tadi.

Perkara itu dimaklumkan Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkuatkuasa serta-merta sehingga ditentukan kelak.

"Takziah saya ucapkan atas kematian guru berkenaan yang sememangnya seorang yang aktif dalam aktiviti ko-kurikulum....ia suatu kejadian di luar jangka, namun perlu dipandang serius.

"Pihak kementerian ambil ketetapan untuk tangguhkan semua aktiviti luar membabitkan air seperti sungai, air terjun dan lokasi berisiko untuk jangkitan leptospirosis, bagaimanapun aktiviti lain boleh diteruskan seperti biasa.

"Dalam masa sama saya juga minta pihak Ketua Pengarah Pendidikan buat kajian mengenai penganjuran aktiviti luar membabitkan lokasi berisiko berkenaan," katanya.

Mohd Yusri Yaccob, 42, yang juga guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Seri Indera Putra, Ayer Hitam, dekat sini, disahkan meninggal dunia jam 8.05 malam tadi selepas mengalami pelbagai komplikasi akibat leptospirosis.

Mangsa dipercayai dijangkiti ketika mengikuti aktiviti Pendidikan Luar Murid Sekolah Menengah 1Malaysia peringkat negeri pada 15 hingga 20 Julai lalu di Pusat Kokurikulum Daerah Baling (Kem Jerai), dekat sini. -BH


No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA