Lelaki Ditawar Khidmat Seks Di Hotel Bajet Sebelum Disamun


SIBU: Dua lelaki berusia 28 tahun dari Kuching yang menginap di sebuah hotel bajet di bandar ini menjadi mangsa samun berkumpulan selepas diumpan dengan wanita muda yang menawarkan khidmat seks pada Sabtu.

Dalam kejadian sekitar 10.30 malam Sabtu itu, salah seorang mangsa membuka pintu bilik apabila mendengar ketukan dan mendapati seorang wanita sedang berada di luar dan menawarkan khidmat seks.

Sejurus selepas wanita itu masuk ke dalam bilik, dua lelaki lain menyerbu masuk dan memaksa mangsa menyerahkan wang tunai berjumlah RM300 serta merampas dua unit telefon bimbit kepunyaan pengadu dan rakan sebiliknya.

"Apabila pengadu cuba menghalang, dia telah ditumbuk dengan menggunakan alat buku lima sehingga menyebabkan kecederaan di bahagian kepala. Ketiga-tiga suspek terus melarikan diri bersama tiga lagi rakan yang menunggu di bawah hotel," kata Ketua Polis Daerah Sibu ACP Saiful Bahari Abdullah dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Beliau berkata, polis telah memberkas enam individu terdiri daripada lima lelaki berusia antara 19 tahun hingga 30 tahun serta seorang wanita berusia 23 tahun di sebuah rumah sewa di bandar ini pada malam sama bagi membantu siasatan.

Seorang lelaki berusia 22 tahun dan wanita berusia 23 tahun itu yang dipercayai pasangan didapati mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

Menurutnya, polis juga berjaya merampas dua unit telefon bimbit yang dilaporkan hilang dan alat buku lima.
Polis percaya kejadian merupakan modus operandi baharu yang menjadikan penginap hotel bajet sebagai sasaran dengan umpanan seorang wanita yang menawarkan khidmat seks.

Mereka kini direman tujuh hari bermula Ahad dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 394 dan 395 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera semasa melakukan samun berkumpulan. - Astro Awani

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA