Lebuhraya Pan Borneo Pemangkin Sektor Hartanah Sabah, Sarawak


HARGA rumah atau kediaman masih meningkat secara amnya dan kemampuan membeli rumah terus menjadi isu dalam kalangan rakyat Malaysia, termasuk di Sabah dan Sarawak.

Menurut 'Nisbah Purata Harga Rumah Teres kepada Purata Pendapatan Isi Rumah Tahunan' yang diterbitkan di dalam laporan 'Rahim & Co Research - Property Market Review 2015/2016', kemampuan membeli rumah teres di Malaysia adalah paling rendah di Sabah (harga purata rumah teres adalah bersamaan 5.7 kali ganda pendapatan isi rumah tahunan), diikuti Pulau Pinang (5.3), Kuala Lumpur (5.2) dan Sarawak (4.5).

Harga sebuah rumah teres di kawasan primer di Sarawak dan di Sabah kini masing-masing mencecah RM500,000 dan RM470,000. Menurut Indeks Harga Rumah Malaysia (IHRM) yang dikeluarkan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), harga purata rumah teres di Sabah dan Sarawak masing-masing menunjukkan peningkatan purata 5.3 peratus dan 5.5 peratus pada tahun lalu.

Corak urbanisasi Masalah kemampuan pemilikan rumah juga mendapat perhatian menerusi usaha untuk menyediakan rumah mampu milik seperti di Sarawak yang menyasarkan 9,185 unit rumah mampu milik untuk dibina menjelang 2019.

Satu pemerhatian yang didapati di negeri berkenaan adalah jarak yang begitu jauh di antara satu-satu bandar atau pekan.

Kedua-dua negeri terbabit adalah yang terbesar di Malaysia dengan jumlah keluasan Sarawak dan Sabah adalah anggaran satu setengah kali ganda keluasan seluruh Semenanjung.

Corak urbanisasi di sana adalah berbeza daripada yang ada di Semenanjung. Selain faktor populasi, peluang pekerjaan, pendapatan per kapita dan dana modal di pasaran, salah satu faktor utama jurang perbezaan itu adalah pada sistem infrastruktur - khususnya sistem jalan raya dan pengangkutan darat.

Komunikasi dan pengangkutan di antara bandar atau pekan ataupun ke luar bandar adalah satu cabaran besar bagi penduduk Sarawak dan Sabah.

Maka, pengumuman pembinaan Lebuhraya Pan Borneo daripada Sematan di Sarawak ke Serudong di Sabah disambut dengan baik oleh orang ramai.

Walaupun pembinaan Lebuhraya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak memerlukan belanja yang besar, melebihi RM27 bilion, tetapi ia adalah perlu bukan sahaja untuk menjana pertumbuhan ekonomi di kedua-dua negeri tetapi juga untuk memberi manfaat secara terus yang boleh dinikmati oleh rakyat di sana.

Akses lebih baik Dengan sistem infrastruktur baharu itu, penduduk tempatan boleh mendapat akses lebih baik kepada sekolah, hospital, pusat industri atau tempat kerja serta kemudahan awam lain.

Ia juga akan mempertingkatkan kebolehlaksanaan pihak kerajaan untuk mewujudkan pusat niaga dan industri setempat yang dapat membantu mempergiatkan aktiviti ekonomi dan penambahbaikan taraf hidup penduduknya.

Sistem lebuh raya itu juga dapat memangkin sektor pelancongan terutama pelancongan-agro (agro-tourism) dan pelancongan-eko (eco-tourism) yang sememangnya mempunyai potensi besar di kedua-dua negeri berkenaan.

Ini juga dapat membantu meningkatkan pendapatan rakyat melalui peluang pekerjaan baharu yang diwujudkan. Projek Lebuhraya Pan Borneo dilancarkan pada 2015 untuk fasa pertama di Sarawak dengan kerja pelebaran laluan sepanjang 43 kilometer (km) dari Simpang Bakun ke Nyabau di Bintulu yang dijangka siap pada tahun 2017/2018.

Seterusnya fasa kedua iaitu jalan baru bagi Tanjung Datu-Sematan di Sarawak dijangkakan bermula pertengahan tahun ini.

Bulan lalu, Lebuhraya Pan Borneo juga dilancarkan di Sabah dengan pakej pertamanya sepanjang 11.7km daripada sejumlah 706km jalan yang akan dinaiktaraf. Keseluruhan pembinaan merangkumi kawasan Tanjung Datu-Sematan ke Miri dan Limbang ke Merapok dijangka bakal siap menjelang 2023.

Dengan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo sepanjang 1,236 km di Sabah dan 1,089km di Sarawak, landskap bandar di Sabah dan Sarawak dijangka dapat berubah menjadi lebih menarik serta berkembang maju pada masa akan datang.

Diharapkan dengan projek infrastruktur berkenaan berserta program lain seperti Transformasi Luar Bandar dan Pembangunan Modal Insan dapat merapatkan jurang pembangunan di antara Semenanjung dan di Sabah serta Sarawak supaya bersama-sama dapat mengecapi kemajuan dan kesejahteraan.

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA