Lawatan Presiden Ukraine Tingkatkan Hubungan Untuk Manfaat Bersama - PM Najib


KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Lawatan rasmi pertama Presiden Ukraine Petro Poroshenko ke Malaysia telah membuka banyak peluang untuk kedua-dua buah negara meningkatkan hubungan yang saling menguntungkan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau dan Poroshenko bersetuju bahawa terdapat peluang yang baik bagi syarikat Malaysia untuk mengambil bahagian dalam pengurusan lapangan terbang, pembinaan lebuh raya dan pengurusan tol serta penjagaan kesihatan di negara itu.

"Hari ini membuka lembaran baharu dalam hubungan Malaysia-Ukraine kerana lawatan Presiden Petro Poroshenko bukan sahaja lawatan rasmi pertamanya tetapi juga yang pertama daripada Presiden Ukraine ke Malaysia.

Daripada perbincangan hari ini, kami mengambil maklum bahawa perdagangan dua hala antara kedua-dua negara boleh ditingkatkan pada tahap yang lebih tinggi dan kami bersetuju bahawa kami perlu mempercepatkan penubuhan Suruhanjaya Bersama Perdagangan untuk memudahkan kerjasama dalam perdagangan dan pelaburan," kata Najib dalam entri blog terbarunya bertajuk "Lembaran Baharu Dalam Hubungan Malaysia-Ukraine", malam ini.

Merujuk kepada MH17, beliau berkata Malaysia dan Ukraine akan terus komited untuk mencari kebenaran dan keadilan demi keluarga mangsa yang kehilangan orang tersayang serta tidak bersalah dalam insiden tragik itu.

Dalam blognya NajibRazak.com, Najib juga memuat naik beberapa gambar Poroshenko dan isterinya, Maryna Poroshenko melawat Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

Poroshenko dan Maryna yang tiba semalam, adalah dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia.

- BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA